Anda di sini

Lelaki warga Myanmar dikhuatiri lemas selepas dibawa arus deras Sungai Rajang

Advertisement
Pasukan SAR bersama unit PPDA menjalankan dua selaman di lokasi namun mangsa masih gagal ditemui sehingga jam 4.30 petang semalam.

SIBU: Seorang lelaki warga Myanmar dikhuatiri lemas dan hilang dibawa arus deras di Sungai Rajang dekat sini tengahari semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa dikenali sebagai Si Thu Htun, 21,  bersama seorang lagi rakan sekerja dikatakan terjun dari atas tongkang  yang berlabuh di berhadapan sebuah kilang sekitar jam 12.40 tengahari itu

"Difahamkan mangsa baharu selesai bergunting rambut sebelum terjun bersama seorang rakan sekerja ke dalam sungai untuk mandi.

"Apabila melihat mangsa terkapai-kapai, rakannya cuba menyelamatkannya tetapi gagal kerana air terlalu deras," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dilancarkan sejurus pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada jam 3.30 petang itu.

Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA Zon 4)  telah dikerah ke lokasi untuk membantu dan memulakan operasi menyelam namun ia ditamatkan atas faktor arus semakin deras selepas dua selaman dilakukan sehingga jam 4.30 petang, semalam.

Operasi SAR telah disertai oleh lima anggota Pasukan Polis Marin (PPM), sembilan anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM Sibu) serta  tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM Sibu) menggunakan dua buah bot.

"Setakat ini, kita belum pasti bagaimana kejadian berlaku hanya berdasarkan maklumat daripada pengurus tongkang berkenaan," kata KPD.

 Kes tersebut diklasifikasikan sebagai laporan Orang Hilang (OH).

"Kita akan kemaskini  sebarang perkembangan berhubung kes tersebut," tambah Stanley.

Sementara itu, operasi SAR disambung semula pada jam 8 pagi tadi masih belum menemui mangsa sehingga jam 12 tengahari, tadi.
 

  • oleh
  • Advertisement