Anda di sini

Ini cucu saya nombor 82, anak TAFF: Tunku Azizah

Advertisement
 Tunku Azizah Aminah Maimunah memeluk erat cucu baginda Puteri Norliyana Damia  ketika berkenan mencemar duli berangkat bersama Yang di-Pertuan Agong ke Program Ziarah Kasih di Taman Sri Keramat dekat Maran, semalam. — Gambar Bernama
CUCU KE-82: Tunku Azizah Aminah Maimunah memeluk erat cucu baginda Puteri Norliyana Damia ketika berkenan mencemar duli berangkat bersama Yang di-Pertuan Agong ke Program Ziarah Kasih di Taman Sri Keramat dekat Maran, semalam. — Gambar Bernama

MARAN: Kelibat kanak-kanak perempuan berpakaian serba merah yang berdiri di pintu pagar sebuah rumah di Taman Sri Keramat di sini semalam, menarik perhatian Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Kanak-kanak itu, Puteri Norliyana Damia, 7, mengenakan rantai leher dengan loket berbentuk bujur yang merupakan kurniaan khas kepada setiap kanak-kanak tabung uji menerusi Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) yang diasaskan baginda.

“Ini cucu saya nombor 82...anak TAFF. Saya ini neneknya,” titah Tunku Azizah berulang kali kepada mereka yang berada di pekarangan rumah itu bagi menyambut keberangkatan tiba baginda ke taman perumahan itu di sini, semalam.

Tunku Azizah dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam, berkenan mencemar duli menziarah tiga pesakit kronik di Taman Sri Keramat dalam lawatan baginda ke daerah Maran semalam.

Tunku Azizah juga berkenan membaca maklumat kelahiran yang diterap pada loket itu, dan kemudiannya bertanya kepada ayah Puteri Norliyana Damia, Zainudin Osman, 51, jika anaknya dilahirkan tidak cukup bulan kerana beratnya semasa dilahirkan pada 22 Jun 2012 hanya 2.3 kilogram.

Baginda yang dilihat sangat teruja bertemu ‘bayi TAFF itu’ kemudiannya menyembah maklum perkara itu kepada Sultan Abdullah dan mengajak baginda untuk sama-sama bergambar kenangan dengan Puteri Norliyana Damia dan Zainudin.

Sementara itu, Zainudin, yang menetap di taman perumahan itu berkata beliau dan anaknya ‘sengaja’ hadir lebih awal di situ, kerana mahu berada di barisan hadapan untuk bertemu dengan Tunku Azizah.

Peniaga itu menambah, beliau tahu keberangkatan tiba Tunku Azizah ke situ menerusi group WhatsApp taman perumahan dan terus memaklumkan perkara tersebut kepada isterinya Nor Rabiatun Razali, 42, yang hari ini (semalam) mempunyai tugasan di Pekan.

“Saya tidak pernah berpeluang untuk mengucapkan berterima kasih kepada baginda secara bersemuka kerana TAFF membolehkan saya dan isteri merasai pengalaman sebagai ibu bapa selepas 12 tahun berkahwin. Malah, inilah satu-satunya zuriat kami buat masa ini.

“Semasa doktor mengesahkan isteri mengandung, kami berdua begitu gembira. Saya rasa malu jika saya tidak datang ke sini hari ini (semalam) kerana jasa baginda kepada kami tidak mungkin dapat kami balas,” katanya.

Zainudin berkata beliau dan isteri  pernah beberapa kali mencuba pelbagai kaedah untuk mendapatkan anak, namun tidak berjaya selain isterinya juga keguguran sebanyak dua kali sebelum mereka membuat permohonan TAFF sekitar 2011. — Bernama

Advertisement