Anda di sini

Gagal lepasi kelayakan

Advertisement
 Muhammad Haiqal (tengah) mewakili negeri Johor dan Khairul (kiri) mewakili negeri Melaka beraksi dalam acara akhir 100 Meter pada Kejohanaan Kesatuan Olahraga Malaysia 2019 di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, semalam. — Gambar Bernama
SEPENUH TENAGA: Muhammad Haiqal (tengah) mewakili negeri Johor dan Khairul (kiri) mewakili negeri Melaka beraksi dalam acara akhir 100 Meter pada Kejohanaan Kesatuan Olahraga Malaysia 2019 di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Raja Pecut Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan gagal melepasi syarat kelayakan ke Sukan SEA tahun ini, iaitu 10.37 saat pada Kejohanan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), semalam.

Pada kejohanan menjadi medan kelayakan terakhir di Stadium Mini Majlis Sukan Negara itu, atlet berusia 21 tahun dari Melaka tersebut, sekadar mencatatkan 10.71 saat menamatkan larian di tempat kedua pada pusingan akhir, lebih perlahan berbanding 10.59s yang dicatatkan pada pusingan separuh akhir, pagi semalam.

Catatan itu juga jauh berbeza daripada rekod kebangsaan miliknya, iaitu 10.18s yang dilakukan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2016.

Pada acara itu hari ini, Muhammad Haiqal Hanafi dari Johor memenangi pingat emas dengan catatan 10.59s, manakala gangsa menjadi milik Muhammad Zulfiqar Ismail dari Terengganu, dengan catatan 10.81s.

Mengulas mengenai catatan itu, beliau berkata beliau sedar bahawa prestasinya pada masa ini tidak memberangsangkan, berikutan baharu enam minggu kembali ke trek selepas pulih dari kecederaan selama tujuh bulan.

“Saya rasa tak bagus juga kalau saya mewakili negara jika prestasi saya masih tak meningkat. Saya tahu perbezaan pada badan saya apabila saya lari selepas pulih dari kecederaan berbanding, ketika saya melakukan catatan 10.18s.

“Saya masih muda lagi, ada banyak lagi Sukan SEA yang boleh disertai pada masa akan datang. Selepas ini, saya tunggu apa perancangan jurulatih saya (Mohd Poad Md Kassim),” katanya kepada pemberita selepas acara itu.

Pada Sukan SEA lalu, Khairul Hafiz meraih emas dengan catatan 10.38s di Stadium Nasional, mengatasi juara bertahan, Eric Shauwn Cray dari Filipina dan Kritsada Namsuwun dari Thailand yang mencatatkan masa 10.43s (masa sama).

Sementara itu, ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil berkata peluang Khairul Hafiz dan atlet lain ke Manila masih belum tertutup, di mana keputusan berkemungkinan besar bakal di buat pada mesyuarat pemilihan terakhir KOM pada Ahad ini.

Beliau berkata, setakat seramai 15 atlet telah layak dalam kategori A (kos ditanggung sepenuhnya), manakala atlet yang telah menghampiri syarat kelayakan akan dipertimbangkan dalam Kategori B.

“Buat masa ini, Jonathan Nyepa telah melepasi syarat kelayakan, iaitu kedudukan tiga teratas Asia Tenggara pada masa ini. Khairul baru pulih dari kecederaan, mungkin dalam masa sebulan lebih, baru beliau boleh catatkan masa di bawah 10.50s.

“Sudah pasti kita tidak mahu meninggalkan juara bertahan, kita akan buat perancangan untuk membantu beliau. Saya yakin dan percaya, kalau buat perancangan baik, beliau mampu kembali pada kedudukan terbaik,” katanya.

Acara 100m wanita, turut menyaksikan tiada sebarang atlet kebangsaan yang melepasi syarat kelayakan apabila Siti Fatimah Mohammad yang mewakili ATM meraih emas dengan catatan 12.28s, berbanding syarat kelayakan 11.58s.

Rakan sepasukannya, S. Komalam Shally (12.41s) dan Azreen Nabila Alias (12.55s) dari Terengganu masing-masing membawa pulang perak dan gangsa. — Bernama

Advertisement