Anda di sini

Tindakan tegas terhadap pemandu teksi, e-hailing, bas gagal carum

Advertisement
 Ismail (kiri) menyerahkan cek pengurusan jenazah dan faedah caruman Allahyarham Nordin kepada Jenab (kanan) di Taman Persiaran Bahagia Utama, Kerteh semalam. — Gambar Bernama
BANTU: Ismail (kiri) menyerahkan cek pengurusan jenazah dan faedah caruman Allahyarham Nordin kepada Jenab (kanan) di Taman Persiaran Bahagia Utama, Kerteh semalam. — Gambar Bernama

TEMERLOH: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu teksi, e-hailing dan bas yang belum melakukan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Pengurus Besar Cawangan Faedah Ibu Pejabat PERKESO Ismail Abi Hashim berkata tindakan itu bagi menjamin kebajikan kumpulan tersebut termasuk kepada anggota keluarga, jika berlaku kejadian tidak diingini semasa bekerja.

“Kita telah banyak melaksanakan kempen kesedaran kepada kumpulan ini sejak Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 berkuat kuasa pada 1 Jun 2017 dan dianggarkan terdapat 270,000 orang pemandu e-hailing serta 41,000 pemandu teksi.

“Manakala jumlah pemandu bas persendirian di negara ini ialah 40,000. Namun daripada jumlah itu, buat masa ini hanya 52,900 orang iaitu tidak sampai 20 peratus yang sudah mencarum,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Ismail ditemui selepas menyampaikan sumbangan Cek Pengurusan Jenazah RM2,000 kepada Jenab Sulaiman, 68, dan Gayah Ninggal, 65, di Taman Bahagia Court di sini, yang kematian suami mereka akibat kemalangan pada Ahad lepas.

Dalam kemalangan itu, Nordin Kapas, 72, maut selepas teksi dipandunya terbabas dan bertembung dengan sebuah kereta Proton Preve di Kilometer 132 Jalan Kuala Lumpur-Maran dekat sini.

Turut hadir ialah Ketua Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri Ibu Pejabat PERKESO Azhar Nadzri dan Timbalan Pengarah PERKESO Pahang Hamzi Hanifa Mahyuddin.

Ismail berkata PERKESO kini mempunyai skuad prihatin untuk melakukan pemeriksaan ke atas pemandu terlibat dari masa ke masa sebelum tindakan diambil terhadap mereka yang masih tidak mencarum.

“Pemandu yang masih tidak mencarum boleh dikenakan kompaun sehingga RM5,000 namun jika mereka datang dengan rela hati ke pejabat PERKESO untuk berbuat mencarum, tiada sebarang tindakan kompaun dikenakan,” katanya.

Sementara itu, Jenab amat bersyukur menerima faedah PERKESO termasuk pencen bulanan seumur hidup berjumlah RM283.50 sebulan walaupun arwah suaminya baru mencarum sejak 1 Ogos lepas.

“Sedikit sebanyak wang ini boleh menampung perbelanjaan saya selepas ketiadaan suami. Walaupun tempoh suami mencarum singkat, saya terkejut apabila dimaklumkan layak menerima faedah ini,” katanya lagi. — Bernama

Advertisement