Anda di sini

Nora Anne: Punca kematian akibat kebocoran usus - Polis

Advertisement
 

SEREMBAN: Remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang ditemukan mati pada Selasa, disahkan meninggal dunia disebabkan kebocoran pada usus mungkin akibat ketiadaan makanan dalam tempoh yang lama dan stres berpanjangan.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata hasil bedah siasat mendapati Nora Anne, telah meninggal dunia dua hingga tiga hari sebelum mayatnya dijumpai.

"Hasil bedah siasat dijalankan mendapati remaja itu mati akibat kebocoran usus mungkin akibat stres berpanjangan dan tidak ada makanan dalam tempoh yang panjang,” katanya pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Mayat Nora Anne ditemui di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan tempat remaja anak istimewa itu dilaporkan hilang pada 4 Ogos, sehari selepas keluarganya mendaftar masuk untuk percutian dua minggu dekat sini.

Proses bedah siasat mayat Nora Anne bermula 11.45 pagi Rabu dan berlarutan sehingga malam, diketuai pakar patologi dari Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, dibantu pakar dari Jabatan Kimia, dan Jabatan Forensik Petaling Jaya.

Mengulas lanjut, Mohamad menegaskan setakat ini tiada elemen culik, dan tiada kesan rogol ditemui pada tubuh mangsa.

"Beberapa sampel (tisu) dari tubuh Nora Anne telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut," katanya.

Berhubung laporan mengenai polis Perancis telah membuka kes siasatan terhadap kes Nora Anne sebagai kes culik, Mohamad berkata beliau tidak mengetahui perkara itu. 

Namun beliau berkata polis Perancis, Ireland dan England sememangnya membantu polis Malaysia dalam siasatan kes itu. 

Ditanya bila mayat Nora Anne akan dituntut, Mohamad berkata ia bergantung kepada keluarga mangsa untuk berbuat demikian. 

“Tiada tempoh masa sehingga bila mayat boleh dituntut dan mereka (keluarga) boleh tuntut pada bila-bila masa,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata siasatan masih dilakukan sebagai kes sebagai orang hilang.

Mayat Nora Anne ditemui pada 13 Ogos (Selasa), iaitu hari ke-10 misi pencarian, melibatkan pelbagai agensi termasuk polis, tentera, bomba,  Angkatan Pertahanan Awam dan dibantu penduduk tempatan termasuk Orang Asli serta pendaki sukarelawan. - Bernama 

Advertisement