Anda di sini

Warga emas maut dalam nahas langgar lari di Sibu

Advertisement
 

SIBU: Seorang lelaki warga emas yang parah selepas terbabit dalam kemalangan langgar lari di Jalan Bukit Assek pada Isnin, menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa, Lau Swie Eng, 66, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sibu sekitar pukul 3.30 pagi.

"Kemalangan berlaku apabila mangsa yang bergerak dari arah pusat bandar menuju ke Lanang telah berlanggar dengan sebuah motosikal yang dipercayai datang dari arah Jalan Mission sekitar 6.30 petang pada Isnin.

"Penunggang motosikal terbabit telah melarikan diri selepas kemalangan, manakala mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Sibu dan disahkan meninggal dunia di wad oleh pihak hospital pada pukul 3.30 pagi tadi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan awal polis mendapati motosikal digunakan suspek yang melarikan dalam kejadian itu telah dilaporkan hilang pada 11 Ogos lalu. 

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk tampil memberi maklumat di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan lanjut. 
 

Advertisement