Anda di sini

Kes demam denggi meningkat 270 peratus di Sarawak

Advertisement
Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUCHING: Jumlah kes demam denggi di Sarawak dari Januari hingga 12 Ogos tahun ini mencatatkan peningkatan kes sebanyak 270 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Jamilah Hashim berkata, sejumlah 1,258 kes direkodkan di seluruh Sarawak pada tempoh itu berbanding 340 kes dalam tempoh sama pada tahun 2018.

Menurutnya, Kuching mencatatkan jumlah kes demam denggi tertinggi iaitu 485 kes diikuti Miri (169 kes), Betong (125 kes), Sibu (119 kes), Serian (57 kes), Kapit (59 kes),  Samarahan (101 kes), Sarikei (44 kes), Bintulu (41 kes), Limbang (21 kes), Sri Aman (23 kes) dan Mukah (14 kes).

"Sehubungan itu, kita (Jabatan Kesihatan) Sarawak ingin merujuk kepada kes demam denggi di Taman Tunku, Miri, di mana sebanyak 49 kes dilaporkan untuk tempoh Januari hingga 12 Ogos 2019 berbanding dengan tempoh sama pada tahun 2018 iaitu sifar kes dicatatkan.

"Terdapat empat wabak denggi dikesan dalam tahun 2019 di Taman Tunku dan Taman Jelita iaitu empat kes di Jalan Kuching Timur 3 (4 kes) pada Minggu Epid (ME) ke-21 hingga ke-24; 30 kes di Jalan Kuching Timur 3 pada ME ke-30 sehingga kini (ME ke-33); empat kes di Jalan Kuching Timur 1 pada ME ke-31 sehingga kini (ME ke-33) dan tiga kes di Jalan Perisai, Taman Jelita pada ME ke 33 sehingga kini (ME ke-33)," katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Menurut beliau, aktiviti kawalan dan pencegahan yang komprehensif dijalankan di kesemua lokasi dilaporkan termasuk penghapusan tempat pembiakan, penghapusan jentik-jentik nyamuk, semburan kabus, arahan pembersihan tempat berpotensi pembiakan, tindakan penguatkuasaan kompaun denggi dan aktiviti pendidikan kesihatan.

Malahan, katanya, mesyuarat Jawatankuasa Wabak Denggi Daerah dengan pelbagai agensi terutama Majlis Bandaraya Miri berkenaan wabak denggi Taman Tunku turut dilaksanakan.

"Mesyuarat ini telah dilaksanakan sebanyak dua kali iaitu pada 2 Ogos dan 9 Ogos 2019, begitu juga dengan pelaksanaan aktiviti gotong royong yang dibuat di kawasan wabak pada 3 Ogos dan dan 10 Ogos 2019," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam supaya mengambil langkah-langkah pencegahan penyakit demam denggi.

"Antaranya ialah membuat pemeriksaan dan pembersihan di kawasan rumah masing-masing secara berkala selain pastikan tiada bekas-bekas yang menakung air sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes, gunakan semburan aerosol atau lingkaran penghalau nyamuk untuk membunuh nyamuk dewasa dalam kediaman dan sebagainya," katanya.

Dr Jamilah turut mengingatkan orang awam supaya mengambil langkah-langkah pencegahan demam denggi mengikut panduan yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan melayari laman sesawang di www.myhealth.gov.my atau www.infosihat.gov.my.

"Diharapkan penduduk di Bahagian Miri terutama di Taman Tunku untuk bersama bertanggungjawab mencegah kejadian demam denggi dengan sentiasa menjaga kawasan persekitaran masing-masing agar bersih dan bebas dari bekas-bekas yang boleh menakung air dan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. 

"Masyarakat juga dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala demam denggi seperti demam, sakit kepala, sakit sendi, ruam, loya, muntah atau gejala amaran awal seperti muntah berterusan, sakit perut atau keletihan," ujarnya.
 

Advertisement