Anda di sini

BVC jayakan sesi penggambaran di Kampung Batu Mandi

Advertisement
 Jurugambar dan model yang menyertai Sesi Outing Photo di Kampung Batu Mandi, Similajau merakam gambar kenangan.
UNTUK ALBUM: Jurugambar dan model yang menyertai Sesi Outing Photo di Kampung Batu Mandi, Similajau merakam gambar kenangan.

BINTULU: Kelab Seni Visual Bintulu atau dikenali sebagai Bintulu Visual Arts Club (BVC) telah menganjurkan sesi penggambaran luar di Kampung Batu Mandi, Jalan Taman Similajau semalam.

Sesi itu disertai 30 jurugambar dan model yang merupakan penggemar seni potret.

Pengerusi BVC Mohammad Rizal Julaihi berkata, ia merupakan sesi bertema ‘Gadis Kampung’ dan ‘Human Interest’ yang julung kali diadakan di Bintulu.

Katanya antara objektif sesi ini adalah untuk memperkenalkan budaya dan kehidupan kampung nelayan di Bintulu yang sinonim dengan ‘Orang Vaie’.

“Kita mengajak jurugambar amatur dan profesional merakam pelbagai cara dan kreativiti untuk menghasilkan karya bercirikan kebudayaan asal orang Bintulu dan cara kehidupan di kampung nelayan,” ujarnya di sini semalam.

Beliau berkata, BVC berharap program-program seumpamanya akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk mempromosikan bandar Bintulu dalam kalangan pelancong asing yang berminat dengan suasana kampung nelayan di sini.

“Kampung Batu Mandi adalah sebuah perkampungan yang baharu dibuka di kawasan Similajau.

“Antara kampung lain atau kawasan nelayan yang turut ada elemen kekampungan nelayan ialah Kampung Kuala Tatau, Pantai ABF, Kampung Jepak, Kampung Sebezau (Sibiew), Kampung Baru, Kampung Masjid, Kampung Sinong, Kampung Datuk serta Kampung Kuala Nyalau yang boleh dijadikan tempat persinggahan pelancong asing untuk datang merakam gambar dan keindahan pantainya,” jelasnya.

Advertisement