Anda di sini

Bombardier APMM bantu padam kebakaran di Kuala Baram mulai esok

Advertisement
Bombardier akan digunakan untuk membantu memadamkan kebakaran di Kuala Baram esok - Gambar ihsan APMM
Pesawat Bombardier dijangka tiba di Miri sekitar pukul 2 pagi esok - Gambar ihsan APMM

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan melaksanakan operasi pemadaman kebakaran tanah gambut di Kuala Baram, Miri dengan kaedah 'water bombing' menggunakan pesawat Bombardier CL415 bermula esok.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata pesawat Bombardier dijangka tiba di Miri sekitar pukul 2 pagi esok dengan membawa dua pasukan terdiri juruterbang dan anak kapal.

Menurutnya, pasukan yang tiba akan melakukan penerbangan secara bergilir iaitu mengikut jadual seperti yang dirancang oleh bahagian operasi udara APMM.

"Durasi penerbangan dirancangan untuk melakukan sekurang-kurangnua dua sortie setiap hari, di mana setiap sortie dijangka akan melakukan pemadaman kebakaran selama lebih kurang empat jam.

"Melalui pengalaman kami, Bombardier mampu melakukan operasi pemadaman kebakaran selama lapan hingga 10 jam bergantung dengan beberapa faktor, terutamanya jarak antara sumber air dengan lokasi kebakaran," katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), Muara Tebas, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Operasi APMM Sarawak Komander Maritim Hamiludin Che Awang dan Pegawai Memerintah KM Kota Kinabalu Leftenan Komander Maritim Fadli Hisham Muhammad.

Robert (tengah) bersama Fadli (kiri) dan Hamiludin menunjukkan tumpuan pemadaman di Kuala Baram, Miri.
Robert (tengah) bersama Fadli (kiri) dan Hamiludin menunjukkan tumpuan pemadaman di Kuala Baram, Miri.

Teh selain itu turut memberitahu lokasi kebakaran yang dilaporkan adalah seluas 24 kilometer persegi.

"Pesawat akan berada di Miri selama tujuh hari sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan mungkin akan dilanjutkan sekiranya keadaan masih memerlukan," katanya.

Tambahnya juga, APMM bersedia memberikan sebarang bentuk bantuan termasuklah bencana alam yang melanda negara kita.

"Operasi kali ini adalah berikutan permohonan dari Kerajaan Negeri (Sarawak) bagi membantu jabatan dan agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang telah berada di lokasi kebakaran," katanya.

Antara operasi pemadaman kebakaran yang melibatkan aset dari Maritim Malaysia sebelum ini ialah seperti kebabaran hutan seluas 34 kilometer persegi di Miri, kebakaran hutan simpan di Kuala Langat, Selangor dan Kebakaran Hutan Gunung di Baling, Kedah.

"Selain operasi pemadaman kebakaran, pesawat Bombadier yang mampu mengumpul sekurang-kurangnya 6,000 liter air dalam 12 saat juga berupaya melaksanakan operasi lain seperti mencari dan menyelamat (SAR).

"Bombardier juga boleh digunakan untuk membuat penerbangan ihsan membawa orang sakit atau telah meninggal dunia," jelasnya.


 

  • oleh
  • Advertisement