Anda di sini

Sebidang tanah akan dikenal pasti, wujudkan kawasan pembiakan hidupan liar

Advertisement
SHAFIE (dua kiri) ketika menunaikan sembahyang Solat Sunat Aidiladha di Masjid Ar-Rahman Semporna.
SHAFIE (dua kiri) ketika menunaikan sembahyang Solat Sunat Aidiladha di Masjid Ar-Rahman Semporna.

SEMPORNA: Kerajaan negeri akan mengenal pasti sebidang tanah di kawasan perhutanan untuk dijadikan tempatan pembiakan haiwan liar khususnya badak sumbu sumatera.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kawasan seumpamanya juga berpotensi dijadikan destinasi pelancongan seperti yang terdapat di negara Afrika.

"Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew akan diminta untuk mengenal pasti lokasi terbabit.

"Kawasan ini nanti bukan sahaja mampu dijadikan sebagai pusat tarikan pelancongan tetapi juga menjadi tempat kehidupan binatang yang ada di dunia ini," katanya ketika ditemui selepas menunaikan Solat Hari Raya Aidiladha di Masjid Ar-Rahman Semporna, di sini pada Ahad.

Beliau berkata, persetujuan negara Indonesia untuk mengadakan kerjasama dengan Sabah dalam program pembiakan badak sumbu sumatera di negeri ini adalah satu berita yang sangat positif dan dinanti-nantikan.

Katanya, memorandum persefahaman (MoU) yang akan dilangsungkan pada September depan di antara Sabah dan Indonesia adalah satu langkah permulaan baik bagi meneruskan pembiakan haiwan itu di sini agar ia tidak pupus di masa hadapan.

"Apabila badak sumbu satu-satunya di negara ini tidak berupaya untuk melahirkan generasinya, maka kita putuskan untuk ke Jakarta berbincang dengan rakan sejawatan bagaimana membantu badak kita agar ia tidak pupus.

"Ia perlu dilindungi dan sebagai badak betina, haiwan itu memerlukan badak jantan untuk pembenihan agar zuriat badak itu dapat diteruskan," katanya.

Menurutnya, kerajaan Sabah perlu mencari langkah bukan hanya di Indonesia tetapi juga tempat lain.

"Pihak Indonesia telah setuju dan kita ucap terima kasih atas kerjasama yang baik ini. Badak ini juga perlu hidup, sebab itu saya kata jangan tebang pokok di hutan belantara.

"Kita boleh bermegah dengan kekayaan di bumi ini dengan memotong balak tetapi banyak haiwan akan binasa hilang sumber makanan sehingga keluar dari kawasan hutan memasuki perkampungan yang akhirnya ditembak.

"Haiwan juga memerlukan sumber makanan untuk hidup tetapi kita potong hutan belantara yang menjadi rumah dan sumber makanan mereka," katanya.

Sementara itu, Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, rakyat negeri ini perlu sentiasa mengamalkan perkara yang baik agar menjadi contoh kepada umat, bangsa dan agama lain.

Katanya, jangan sesekali memaparkan kesempitan seperti amalan saling mencaci dan memfitnah orang tanpa mempunyai fakta.

"Adalah penting selaku umat Islam supaya jangan ada langkah dan tindakan yang menjurus ke arah mewujudkan banyak perbalahan serta pertelingkahan syak wasangka di antara satu sama lain.

"Tuntutan kita adalah menyiarkan Islam sebagai contoh terbaik kepada umat lain," katanya.

Beliau berharap rakyat negara ini tidak kira bangsa dan agama dapat sentiasa berada dalam keadaan sejahtera, bersatu padu dan bersama-sama bangunkan Malaysia ke arah yang lebih baik.

Hadir sama ialah isteri Ketua Menteri, Datin Seri Shuryani Shuaib.

  • oleh
  • Advertisement