Anda di sini

Kejohanan Piala Datuk Presiden MPS tarik minat pencinta sukan bola sepak

Advertisement
PETER Hii menyampaikan sijil penyertaan dan hamper kepada pasukan yang bertanding.
PETER Hii menyampaikan sijil penyertaan dan hamper kepada pasukan yang bertanding.

SANDAKAN: Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Datuk Presiden MPS 2019 bukan sahaja menarik minat pencinta sukan bola sepak tetapi juga menjadikan masyarakat lebih terdedah kepada aktiviti kemasyarakatan.

"Di samping itu juga menjadikan aktiviti sukan sebagai platform dalam menjalinkan perpaduan demi memartabatkan semangat kesukanan dalam kalangan pencinta sukan bola sepak," kata Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Datuk Peter Hii Chang Lik.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Datuk Presiden MPS 2019 di Stadium Kompleks Sukan Sandakan pada malam Jumaat.

"Saya dimaklumkan bahawa pertandingan pada kali ini dibuka kepada semua kumpulan termasuk NGO, agensi kerajaan dan juga para belia yang merupakan peminat setia sukan bola sepak.

"Oleh yang demikian, saya menyeru agar setiap dalam kalangan anda semua yang terlibat dalam pertandingan ini supaya dapat mengambil peluang untuk menjalinkan semangat muhibah di samping mengutamakan semangat kesukanan untuk memastikan anda semua dapat bersaing secara sihat dan adil. Kalah dan menang itu adat pertandingan semata-mata," katanya.

Beliau percaya acara pada malam itu telah disusun atur di bawah aktiviti Festival Sandakan 2019 malah, ia merupakan tahun kedua beliau diberikan peluang untuk merasmikan acara itu.

"Pada pandangan saya, acara pada tahun ini menampakkan ada sedikit perubahan dari segi konsep dan corak penganjuran yang mana pada kali ini pihak penganjur telah menggunakan Stadium Kompleks Sukan Sandakan sebagai venue kejohanan.

"Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih atas kesudian pihak Lembaga Sukan Negeri Sabah atau lebih tepat lagi pihak Kompleks Sukan Sandakan kerana sudi bekerjasama dengan pihak MPS dalam menganjurkan kejohanan pada kali ini.

"Sesungguhnya, inilah semangat kerjasama yang kita harapkan dalam menterjemah konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang menekankan kerjasama setiap agensi kerajaan dalam melaksanakan sesuatu program," katanya.

Dalam kesempatan itu, Peter Hii turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha kepada mereka yang beragama Islam dan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang jatuh pada 31 Ogos nanti.

Beliau juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur yang diketuai oleh Pengerusi Farizal Setoh di atas kejayaan menganjurkan acara pada malam itu.

"Marilah kita bersama-sama berganding bahu, bersatu hati dan berpadu tenaga dalam memajukan daerah Sandakan yang kita sayangi ini," katanya.

Sebanyak 33 pasukan menyertai kejohanan bola sepak berkenaan dan hadiah disampaikan oleh Peter Hii.

  • oleh
  • Advertisement