Anda di sini

Rogol berkumpulan: Empat lelaki mengaku tidak salah

Advertisement

KOTA KINABALU: Empat lelaki tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan melakukan rogol berkumpulan terhadap seorang gadis berusia 15 tahun di daerah Papar.

Rezwan Abdullah, 22, Mohd Shah Abdullah, 20, Mohd Izlan Omar, 20, dan Ag Rizaullah Bahin, 22, didakwa melakukan kesalahan itu pada 8 Ogos jam 9 malam di sebuah pondok di Pantai Melinsung.

Sabit salah mengikut Seksyen 375 B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun.

Timbalan Pendakwaraya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi menawarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 untuk setiap tertuduh dan syarat tambahan harus dikenakan.

Namun, Peguam Azhier Farhan Arisin yang mewakili semua tertuduh meminta jumlah terbabit dikurangkan kerana setiap anak guamnya masih bergantung pada keluarga masing-masing.

Menurutnya, Rezwan dan Ag Rizaullah masing-masing bekerja sebagai pengangkat barang dan mekanik, sementara dua lagi tertuduh tidak bekerja.

"Semua tertuduh dibebaskan dengan jaminan polis dan dengan suka rela hadir di mahkamah hari ini (semalam). Hal ini menunjukkan mereka tidak akan melarikan diri," katanya.

Hakim Noor Hafizah Mohd Salim menetapkan pengurusan kes pada 29 Ogos dan perbicaraan 16 hingga 18 November terhadap semua tertuduh.

Sementara menunggu kes selesai, mereka dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM8,000 dicagarkan seorang penjamin tempatan.

Selain itu, mereka diperintahkan melaporkan diri dua kali dalam sebulan di Balai Polis Papar dan dilarang berhubung dengan saksi pendakwaan.

  • oleh
  • Advertisement