Anda di sini

Bom kereta Taliban meletup di Kabul, 95 cedera

Advertisement
 Beberapa lelaki yang cedera dibawa ke hospital selepas bom kereta meletup berhampiran pintu masuk sebuah balai polis di barat Kabul di Afghanistan semalam. — Gambar Reuters
MANGSA BOM: Beberapa lelaki yang cedera dibawa ke hospital selepas bom kereta meletup berhampiran pintu masuk sebuah balai polis di barat Kabul di Afghanistan semalam. — Gambar Reuters

KABUL: Puluhan orang cedera apabila bom kereta Taliban meletup di Kabul semalam, dengan kepulan asap tebal menyelubungi ibu negara itu selain memecah tingkap yang terletak jauh dari lokasi letupan.

Keganasan meruncing di seluruh Afghanistan dan di Kabul sementara Amerika Syarikat (AS) dan puak Taliban membincangkan perjanjian damai menjelang pilihan raya yang dijadualkan pada 28 September.

Bom kereta itu meletup berhampiran pintu masuk sebuah balai polis di barat Kabul sekitar jam 9 pagi (waktu tempatan), kata jurucakap kementerian dalam negeri Nasrat Rahimi.

Jurucakap kementerian kesihatan Wahidullah Mayar berkata sekurang-kurangnya 95 orang, kebanyakan mereka orang awam dan termasuk wanita dan kanak-kanak, telah dibawa ke hospital.

“Saya terdengar bunyi le-tupan kuat dan semua tingkap di kedai saya pecah dengan serpihan kaca bertaburan merata-rata tempat,” kata pemilik kedai Ahmad Saleh kepada AFP.

“Kepala saya berpusing dan saya masih belum tahu apa yang telah berlaku tetapi tingkap kira-kira 20 kedai kira-kira satu kilometer dari tapak letupan telah pecah.”

Puak Taliban mengaku bertanggungjawab bagi se-rangan itu.

Menurut rakaman dalam media sosial dan saksi, tembakan senjata kecil kedengaran selepas letupan berlaku.

Satu taktik pemberontak yang lazim adalah untuk menggunakan seorang pengebom bunuh diri untuk menyerang sasaran dan kemudian menyusulinya de-ngan lelaki bersenjata yang menyerbu kawasan letupan.

Lebih 1,500 orang awam maut atau cedera dalam konflik Afghan pada Julai sahaja, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, jumlah bulanan tertinggi setakat ini pada tahun ini dan tempoh sebulan paling buruk sejak Mei 2017.

Kelmarin malam, komando Afghan menyerbu sebuah rumah perlindungan untuk pejuang Daesh (IS) berhampiran lapangan terbang di Kabul, kata pegawai.

Maklumat mengenai ope-rasi itu masih belum diketahui.

Sekurang-kurangnya lima maut dan tujuh cedera di Kabul kelmarin apabila sebuah kenderaan yang membawa pekerja dari direktorat antinarkotik dibom, kata kemen-terian dalam negeri. — AFP

Advertisement