Anda di sini

Seni pertahanan diri 'kuntau' dibawa ke Korea Selatan

Advertisement
Uggah (tengah) bersama Irwin (kanan beliau) dan Solomon Achu, Abraham serta Philip merakam kenangan bersama-sama. Turut kelihatan Joe (kanan) dan Rick Hanson.
Uggah (tengah) bersama Irwin (tiga kiri) dan Solomon Achu, Abraham serta Philip merakam kenangan bersama-sama. Turut kelihatan Joe (kanan) dan Rick Hanson.

KUCHING: Sekumpulan 16 guru dan atlet seni mempertahankan diri 'kuntau' Iban, Bidayuh dan Melanau akan menyertai Festival Seni Mempertahankan Diri Dunia Chungju ke-19 dan World Martial Arts Masterships Kedua 2019 di Korea Selatan.

Kumpulan tersebut merupakan ahli Persatuan Seni Mempertahankan Diri Dayak Sarawak (SDMAA).

Hari ini kumpulan itu diketuai pengerusinya Irwin Cartland, setiausaha Abraham Melai dan penasihat Rick Hanson mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Hadir sama Guru Joe Frazier Kemping dan Soloman Achu dari Iban (Kuntau Iban Lama) dan Guru Philip Edwin (Kutow Rusat Rimoung Singai Club) mewakili komuniti Bidayuh.

Menurut Abraham, SDMAA merupakan pertubuhan tunggal di Sarawak dan salah satu daripada dua di Malaysia diterima serta diiktiraf sebagai sekutu penuh Kesatuan Seni Mempertahankan Diri Dunia (WoMAU) di bawah naungan UNESCO dalam memelihara seni mempertahankan diri tradisional dan mempromosikan keamanan dunia.

WoMAU hanya mempuyai 62 ahli dari 42 negara.

Menurut Abraham SDMAA berperanan mengenal pasti, melakukan penyelidikan dan pendokumentasian, membangun dan memperkukuh dengan kata lain, mempertahan serta memelihara seni mempertahankan diri tradisional komuniti Dayak.

"Pada 2017, SDMAA diberi penghormatan dan kepercayaan untuk mempromosikan budaya serta warisan tradisional Sarawak dengan membuka reruai sendiri bagi mempamerkan seni mempertahankan diri ini selama seminggu sempena Festival Seni Mempertahankan Diri Dunia Chungju ke-18.

"Pada tahun lepas juga SDMAA bersama Persekutuan Kunto Sarawak (SKF) menganjurkan pertunjukkan seni mempertahankan diri secara besar-besaran melibatkan 2,000 atlet seni mempertahankan diri daripada pelbagai disiplin atau jenis di Tebingan Kuching.

"Acara itu telah diiktiraf sebagai acara antarabangsa dengan kehadiran WoMAU dan World Martial Arts Mastership Committee(WMC)," katanya.

Beliau menambah pada tahun lalu, SDMAA bersama SKF menganjurkan "MA2018 - Tree Planting" yang menyaksikan kira-kira 500 atlet seni mempertahankan diri, sukarelawan daripada angkatan tentera dan orang ramai menyertai program menanam pokok bertempat di Demak Laut.

Mengenai Festival Seni Mempertahankan Diri Dunia Chungju ke-19, Abraham berkata ia akan bermula 30 Ogos hingga 5 September ini dan wakil SDMAA termasuk Guru Abang Mustapha Awang Khaider (Kuntau Melanau) akan membuat pertunjukan kuntau bersenjata dan tanpa senjata.

Selain itu SDMAA akan mengadakan rundingan dengan rakan atlet seni mempertahankan diri dan membuat persembahan muzik tradisional.

  • oleh
  • Advertisement