Anda di sini

Polis tahan lebih 800 peserta perhimpunan pembangkang di Moscow

Advertisement
 Pegawai polis menahan Lyubov Sobol ketika beliau dalam perjalanan menuju  ke lokasi rapat umum. — Gambar AFP
DITAHAN: Pegawai polis menahan Lyubov Sobol ketika beliau dalam perjalanan menuju ke lokasi rapat umum. — Gambar AFP

MOSCOW: Polis menahan lebih 800 orang yang menyertai perhimpunan pembangkang di Moscow kelmarin, manakala pihak berkuasa meningkatkan lagi tekanan ke atas pengkritik utama Kremlin Alexei Navalny dengan melancarkan siasatan jenayah ke atas kumpulan antirasuahnya.

Orang ramai berjalan-jalan di sepanjang lebuh hias tengah ibu negara dalam untuk membantah keengganan pegawai membenarkan calon pembangkang bertanding dalam pilihan raya pada September bagi kerusi parlimen bandar raya, satu isu tempatan yang sudah berubah menjadi krisis politik.

Kebanyakan calon tersebut dan ketua pembangkang, termasuk Navalny, ditahan oleh polis ekoran rapat umum protes pada hujung minggu lepas, di mana 1,400 penunjuk perasaan ditahan, salah satu tindakan terbesar ke atas demonstrasi sejak sekian lama.

Kelmarin polis rusuhan dikerahkan beramai-ramai di tengah Moscow, beberapa kedai dan kafe ditutup, perintang besi didirikan, Internet tidak berfungsi selama berjam-jam, dan sebuah stesen kereta api bawah tanah ditutup sementara.

Kira-kira 828 orang ditahan dalam rapat umum itu, kata pemantau protes bebas OVD-Info.

Polis berkata hanya 1,500 orang sahaja menyertai perhimpunan berkenaan.

Wartawan AFP berkata jumlah peserta kemungkinan dalam lingkungan ribuan orang tetapi anggaran tepat adalah sukar kerana protes berlangsung di beberapa kawasan kejiranan.

AFP memerhatikan puluhan tangkapan di sepanjang laluan protes, manakala polis membentuk rantai manusia dan menangkap orang sewenang-wenangnya.

“Mereka datang dan menangkap tujuh orang betul-betul di depan saya,” kata Olga Yakovleva, 50, yang duduk di atas bangku di sebuah dataran sepanjang laluan protes.

“Saya tidak dapat bercakap. Mereka hanya orang yang duduk sambil berbual.”

Lyubov Sobol, sekutu Navalny, yang kini sudah mogok lapar selama tiga minggu selepas dilarang daripada mengambil bahagian dalam pemilihan, telah diheret keluar dari sebuah teksi dan ditahan ketika dia hendak menuju ke lokasi rapat umum.

Beberapa jam kemudian dia dibawa ke mahkamah di mana dia didenda sebanyak 300,000 ruble (RM19,320) bagi satu perhimpunan pada 15 Julai lalu, dan ditahan untuk disoal lanjut berhubung protes pada hujung minggu lepas, kata pasukannya.

Calon pembangkang yang cuba bertanding dalam pilihan raya pada bulan depan berkata pihak berkuasa telah sewenang-wenang mengumumkan tandatangan yang mereka kumpul untuk layak sebagai tidak sah.

Orang ramai kelmarin berkata mereka hanya mahu pembangkang diberi peluang untuk bersaing.

“Saya percaya semua orang harus ada hak untuk mengambil bahagian” dalam pilihan raya, kata Robert, 39, kepada AFP.

Rakaman muncul yang menunjukkan anggota polis dengan kelengkapan rusuhan memukul orang yang meniarap di atas laluan jalan kaki dengan belantan, dan ramai anggota polis mula memakai penutup muka untuk menghalang aktivis daripada mengecam mereka dalam gambar dan video.

Amnesty International mengecam “penggunaan kekerasan yang tidak perlu dan keterlaluan” serta cubaan “tidak berasas” untuk melakar tindakan protes di Moscow sebagai satu pemberontakan yang ganas.

Pihak berkuasa telah melancarkan siasatan ke atas “rusuhan besar-besaran” pada hujung minggu lepas dan “keganasan terhadap polis”, yang mencerminkan siasatan sama ke atas protes terhadap Presiden Vladimir Putin pada 2012 yang menyaksikan beberapa orang dipenjara.

Penunjuk perasaan menegaskan tindakan mereka adalah aman, dan tiada laporan dibuat mengenai kerosakan harta benda.

Putin belum lagi membuat kenyataan mengenai situasi di Moscow. — AFP

Advertisement