Anda di sini

Optimis juara SUKMA 2020

Advertisement
 Abdul Karim (tiga kanan), Hii (kanan), Ting (tiga kiri) serta yang lain ketika meraikan ulang tahun ke-30 SDRU di Sibu malam kelmarin.
RAI BERSAMA: Abdul Karim (tiga kanan), Hii (kanan), Ting (tiga kiri) serta yang lain ketika meraikan ulang tahun ke-30 SDRU di Sibu malam kelmarin.

SIBU: Sarawak berharap dapat memenangi edisi ke-20 Sukan Malaysia (SUKMA) di Johor pada Julai tahun depan selepas 29 tahun kempunan mengungguli temasya sukan kebangsaan itu.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata beliau amat yakin Sarawak dapat memenangi gelaran itu berdasarkan prestasi cemerlang pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) serta persediaan rapi atlet-atlet.

Menurutnya, Sarawak akan menghantar satu pasukan ke New Zealand untuk mengkaji prestasi cemerlang negara kecil itu yang mempunyai penduduk kira-kira 4.8 juta orang mampu memenangi 16 pingat emas pada Sukan Olimpik di Rio Brazil.

“Harus ada rahsia di sebalik kejayaan itu. Kami mahu melihat bagaimana atlet New Zealand membangunkan sukan mereka di sana,” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-35 Kesatuan Ragbi Bahagian Sibu (SDRU) di sini malam kelmarin.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Hii Chang Kee dan Presiden SDRU, Jeffery Ting.

Beliau berkata, Sarawak menyediakan atlet-atlet menjalani latihan diperlukan untuk bersaing dalam semua acara yang akan dipertandingkan pada SUKMA 2020 untuk memastikan mereka memenangi pingat emas.

“Saya percaya dengan semangat dan persiapan kita lakukan, kita boleh mengembalikan zaman kegemilangan pada 29 tahun dahulu pada SUKMA 2020 di Johor,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu berkata, sukan ragbi di negeri ini menarik dan beliau mahu melihat acara itu menyumbang emas buat Sarawak pada SUKMA 2020 nanti.

“Saya percaya pada satu tahun ini sehingga SUKMA di Johor tahun depan, jika kita bersedia dengan sepenuh hati dan komitmen tidak ada pasukan tidak dapat dikalahkan,” jelasnya.

Selain itu, Abdul Karim memberitahu kementeriannya mempunyai rancangan besar membangunkan semua sukan di negeri ini dan mahu menjadikan Sarawak sebagai kuasa sukan di Malaysia.

  • oleh
  • Advertisement