Anda di sini

Lee hadiri persidangan mengenai isu diskriminasi

Advertisement
LEE bergambar bersama ahli-ahli jawatankuasa yang menghadiri persidangan pada Jumaat.
LEE bergambar bersama ahli-ahli jawatankuasa yang menghadiri persidangan pada Jumaat.

KOTA KINABALU:  Presiden Persatuan Hak Asasi Rakyat Sabah Lee Pun Yee bersama jawatankuasanya menghadiri Persidangan Kebangsaan Ketidakan Diskriminasi ke-9 'Malaysia Baru: Pencapaian ke  arah uniti dalam masyarakat majmuk' di sini pada Jumaat.

Antara ahli jawatankuasa yang hadir Patrica Chow, Lily Chong, Tan Cheng Hui,Chan Hing Hiong dan John Lo Chee Yu.

Persidangan julung kali diadakan di Sabah ini dianjurkan bersama Komas, Suhakam dan IDS.

Pelapor khas dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Professor Fernand de Varennes dijemput memberikan ceramah mengenai hak asasi manusia.

Selain itu, penceramah dari India John Samuel serta Haris Ahzar dari Indonesia turut memberikan pandangan masing-masing.

Lee berpendapat setiap penjawat kerajaan mempunyai obligasi untuk menjalankan dasar yang boleh menyatupadukan pelbagai kaum serta memastikan dasar kesamarataan sentiasa terpelihara dan bukan sebaliknya.

Sehubungan itu, beliau membidas insiden provokasi yang sengaja diapi-apikan oleh sesetengah pihak yang cuba mengeruhkan keadaan untuk kepentingan diri sendiri.

Keadaannya bertambah serius berikutan perkembangan platform media sosial seperti blog, twitter dan facebook serta apiklasi WhatsApp.

“Ini adalah cabaran getir masyarakat dan kerajaan. Bibit-bibit diskriminasi berasaskan minoriti, kebencian, agama, perkauman serta ideologi politik boleh menyemarakkan musibah yang boleh membawa kemudaratan, seterusnya menghancurkan keharmonian dan kestabilan yang sekian lama wujud," katanya.

Beliau terkilan dengan usaha pasif yang diambil kerajaan berhubung masalah kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di Sabah yang dipinggirkan.

"Mereka bukan pelarian atau  mangsa peperangan, tetapi salah seorang daripada ibu/bapa ialah warganegara Malaysia. Bukankah mereka juga layak dipertimbangkan untuk menjadi rakyat Malaysia?.

“Kalau hendak menghapuskan segala bentuk diskriminasi, kerajaan harus mengambil langkah proaktif  terutama dalam isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan kerana nasib, hak dan masa depan golongan tidak berdosa ini  terletak dalam tangan peneraju kepimpinan," katanya.

Advertisement