Anda di sini

Laksana segera cadangan RCI

Advertisement
FELIX JOSEPH SAANG
FELIX JOSEPH SAANG

KOTA KINABALU: Pemuda Upko menggesa kerajaan agar melihat semula kepada laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah yang ditinggalkan separuh jalan oleh kerajaan terdahulu.

Ketua pergerakan Pemuda Upko, Felix Joseph Saang berkata pelaksanaan segera cadangan atau rekomendasi laporan RCI itu amat penting memandangkan kes PTI mendapat dokumen pengenalan diri melalui sindiket haram masih lagi berleluasa.

"Kes terbaharu dilaporkan ialah penangkapan tiga individu termasuk seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana disyaki terlibat dalam pemberian dokumen pengenalan diri melalui maklumat palsu di Semporna.

"Pemuda Upko memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara kita," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Felix yang juga Ketua Upko Beluran berkata kerajaan hari ini perlu mengaktifkan semula jawatankuasa tinggi mengenai isu PTI di Sabah yang ditubuhkan oleh kerajaan terdahulu.

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu adalah berdasarkan rekomendasi laporan RCI dan ianya dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri Sabah.

Pada masa yang sama, katanya satu jawatankuasa kerja juga telah ditubuhkan untuk melihat pertimbangan dan melaksanakan cadangan-cadangan penyelesaian masalah PTI di Sabah seperti yang terkandung di dalam Laporan RCI.

Bagaimanapun, Felix berkata kerajaan terdahulu tidak melaksanakannya sepenuh hati sehingga ia ditukar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Oleh itu, kami percaya ia terpulang kepada kerajaan sekarang untuk melaksanakan cadangan RCI ini.

"Sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan dan Negeri menunjukkan bahawa kita benar-benar serius dalam menangani masalah yang telah membelengu rakyat Sabah sekian lama," katanya.

Pada masa yang sama, beliau berpendapat sistem pendaftaran pengundi secara automatik tidak boleh dilaksanakan di Sabah kerana masalah unik rakyat ‘palsu’ yang dihadapi negeri ini.

Beliau berkata penangkapan di Semporna baru-baru ini adalah bukti bahawa PTI masih lagi boleh mendapatkan kad pengenalan melalui cara yang meragukan.

"Kita tidak boleh mempunyai sistem yang secara automatik mendaftarkan semua pemegang kad pengenalan yang berusia 18 tahun ke atas di Sabah disebabkan sukar bagi kita untuk memastikan sama ada mereka ini adalah warganegara tulen ataupun tidak," katanya.

Oleh sebab itu, katanya, Pemuda Upko meminta agar Sabah dikecualikan daripada sistem pendaftaran pengundi automatik itu kelak.

Dalam pada itu, Felix berkata tindakan tegas harus dikenakan terhadap mereka yang melakukan kegiatan membantu PTI mendapatkan kad pengenalan.

"Tindakan membantu PTI mendapatkan dokumen dan kewarganegaraan melalui pintu belakang adalah perbuatan khianat.

"Tindakan keji ini mencabul kedaulatan dan mengancam keselamatan negara kita," katanya.

Felix berkata salah satu saranan yang telah dipertimbangkan oleh panel RCI dalam laporan 2012 itu adalah penarikan balik semua kad pengenalan di Sabah dan hanya dikeluarkan semula setelah pemegangnya disahkan sebagai rakyat Malaysia tulen.

"Cadangan ini telah disuarakan oleh Upko dan pada hari ini Upko tetap teguh dengan pendirian kami ini," katanya.

Felix juga bersetuju dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick yang juga naib presiden Upko bahawa masalah PTI di Sabah seakan bom jangka yang hanya menunggu meletup sekiranya ia gagal mendapat penyelesaian tuntas.

Advertisement