Anda di sini

160 murid sertai Program Peningkatan Penguasaan Tahap Minimum Matematik

Advertisement
AZRI (duduk dua kanan), Norinnie (tiga kanan) dan Shahrizal (dua kiri) bersama guru-guru yang menyertai program itu.
AZRI (duduk dua kanan), Norinnie (tiga kanan) dan Shahrizal (dua kiri) bersama guru-guru yang menyertai program itu.

LABUAN: Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) bersama Task Force Matematik JPWPL dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Labuan telah menganjurkan Program Peningkatan Penguasaan Tahap Minimum Matematik Murid-murid Tahun 6 Sekolah-sekolah Rendah Labuan bertempat di Dewan Institut Latihan Perindustrian (ILP), baru-baru ini.

Seramai 160 orang murid calon UPSR seluruh WP Labuan dan 55 orang guru terdiri daripada Penolong Kanan Pentadbiran, Ketua Panitia Matematik dan guru-guru Matematik Tahun 6 menyertai program tersebut.

Penceramah jemputan program peningkatan itu ialah Azri Omar yang merupakan ketua pasukan bersama pemeriksa kertas yang juga penggubal soalan dan guru cemerlang (Matematik).

Program tersebut bertujuan untuk memantapkan dan mengukuhkan keyakinan diri, memberi kesedaran dan memantapkan kemahiran murid menjawab soalan kertas UPSR - Matematik dengan menggunakan teknik dan kaedah menjawab yang betul dan tepat.

Selain itu, untuk meningkatkan kemahiran pedagogi guru dalam kaedah mengajar murid menjawab soalan dengan tepat dan betul.

Pada masa sama, objektif program ini adalah untuk membantu murid-murid Tahun 6 yang pencapaiannya agak sederhana dalam Matematik untuk menguasai tahap minimum dalam mata pelajaran tersebut.

Pengarah JPWPL, Raisin Saidin, yang merasmikan program itu berharap agar program ini dapat memberi impak kepada semua murid yang menyertai program ini.

Beliau juga berharap melalui perkongsian ilmu dan pengalaman penceramah akan membantu meningkatkan prestasi subjek Matematik di Wilayah Persekutuan Labuan dalam UPSR pada tahun ini.

Pengerusi Task Force Matematik JPWPL, Norinnie Kassim turut mengucapkan terima kasih kepada guru dan murid dari 15 buah sekolah yang menyertai program ini.

Beliau juga berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meningkatkan kecemerlangan prestasi mata pelajaran Matematik di Wilayah Persekutuan Labuan.  

Turut hadir Pengurus Unit Cawangan Pusat Pungutan Zakat Labuan, Ustaz Haji Ahmad Shahrizal Mohd Saffian dan Timbalan Pengerusi Task Force Matematik, Murni Jaafar.

 

Advertisement