Anda di sini

PPM Sabah kerja keras gagalkan taktik, cubaan seludup

Advertisement
MOHAMAD PAJERI ALI
MOHAMAD PAJERI ALI

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, bekerja keras memastikan sebarang taktik atau cubaan melakukan jenayah rentas sempadan, seperti kegiatan penyeludupan dalam kawasan perairan negeri, digagalkan.

Komandernya, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, pada masa ini kesemua elemen serta aset dalam PPM digerakkan ke arah membanteras jenayah rentas sempadan.

"Misalnya, hasil bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini PPM merekodkan tangkapan 84 kes, melibatkan Akta Kastam 1967 serta Akta Kawalan Bekalan 1961, dengan nilai rampasan RM13,041,943.40.

"Bagi tempoh tahun lalu, PPM  berjaya merampas barangan seludup bernilai RM18 juta, serta menahan 1,439 individu," katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohamad Pajeri berkata, bagi memastikan keberkesanan membanteras jenayah rentas sempadan, PPM turut membangunkan jaringan keselamatan bersama Polis Kebangsaan Filipina (PNP) serta Polis Air Indonesia (Polair).

"Pantai Sabah ini sepanjang 1,860 kilometer, bermula dari Teluk Brunei sehingga ke Pulau Sebatik, Tawau, dan keluasan laut wilayah negeri ini meliputi 52,194 kilometer persegi.

"Sabah, bersempadan dengan Filipina dan Indonesia, sebab itu kita memerlukan jaringan kerjasama untuk membanteras jenayah rentas sempadan terutamanya kegiatan penyeludupan," katanya

Menurutnya, antara program diadakan bersama PNP dan Polair Indonesia adalah program Titik Pertemuan (RV) yang bertujuan untuk bertukar maklumat.

"Kita merencanakan RV secara berterusan dengan pertemuan setiap bulan bersama Polair Indonesia di perairan Tawau, Pulau Sebatik manakala perjumpaan PNP dalam tempoh empat bulan sekali," katanya lagi titik pertemuan itu ditentukan PPM sebagai melancarkan pergerakan.

Sepanjang tempoh enam bulan, sejak Januari lalu, menurutnya PPM menerima maklumat yang melibatkan satu kes ancaman kumpulan militan dan 12 kes jenayah rentas sempadan.

Tegasnya, walaupun perairan Sabah saiznya besar tetapi usaha berterusan dilaksanakan memantau dengan ketat daripada kegiatan pencerobohan dan penyeludupan.

Advertisement