Anda di sini

GPS akan 'berperang' habis-habisan

Advertisement
Abang Johari bersama menteri kabinetnya dan ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan.
Abang Johari bersama menteri kabinetnya dan ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan.

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan berperang habis-habisan jika Pakatan Harapan (PH) melancarkan serangan menawan Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata GPS tidak akan duduk diam sebaliknya menyiapkan segala logistik diperlukan.

"Kalau orang hendak berperang, kita perang benar-benar apabila berperang kita mesti menjaga logistik, perlu mahu betul, tembak kena tepat.

"Sebab itu, pemimpin di peringkat akar umbi mesti mempersiapkan diri dan jangan hanya berharap kepada pemimpin atasan (untuk turun berperang). Pemimpin atasan dan pemimpin akar umbi mesti bekerja sama. Insya-Allah masa depan Sarawak cerah menjelang 2030," katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 700 Ahli Majlis (kaunselor) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada majlis Angkat Sumpah dan Seminar Ahli-Ahli Majlis PBT di sini, hari ini.

Abang Johari berkata sebagai pucuk pimpinan negeri ini beliau memerlukan sokongan daripada semua pihak khususnya pemimpin akar umbi memajukan lagi Sarawak.

"Saya akan terus berjuang, jeneral akan berjuang tetapi kalau askar yang berada di barisan belakang tidak benar-benar masa berjuang, sudah tentu jeneral akan tumpas juga," ujarnya.

Pada Ahad lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen ketika berucap pada Majlis Makan Malam 'Harapan Sarawak Baharu' berkata GPS mesti dikalahkan pada PRN akan datang kerana kekalahan GPS boleh menyekat kemaraan PAS dan UMNO.

Mengakui PAS dan UMNO bakal memberi cabaran besar kepada PH pada pilihan raya umum akan datang tetapi ia hanya akan menjadi kenyataan jika mendapat sokongan GPS khususnya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

"Pihak ketiga di belakang mereka (PAS-UMNO) ialah GPS, PBB khasnya," katanya.

Chong juga berkata PRN akan datang akan menjadi pertarungan antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara parti tempatan dan parti kebangsaan dan menyifatkannya sebagai 'pertarungan abad ini'.

“Kami kerajaan persekutuan PH, GPS kerajaan negeri. Mudah sahaja, GPS kerajaan negeri dan PH kerajaan besar. Marilah kita menyerang tanpa sebarang rasa takut,” ujar Chong.

Sementara itu pada sidang media selesai majlis berkenaan Abang Johari berkata Sarawak sememangnya adalah Sarawak baharu dalam versi negeri ini sendiri.

“Kita ada Sarawak baharu versi kita sebenar, pendigitalan adalah Sarawak baharu, melaksanakan projek luar bandar adalah Sarawak baharu, kita mahu menyediakan kemudahan pendidikan yang baik kepada rakyat adalah Sarawak baharu,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement