Anda di sini

Adau Janang Gayuh tarikan pelancong, platfrom pelihara budaya selari kemajuan arus perdana

Advertisement
KUSEN memukul gong sebagai simbolik perasmian Adau Janang Gayuh yang diadakan di Kampung Suasa.
KUSEN memukul gong sebagai simbolik perasmian Adau Janang Gayuh yang diadakan di Kampung Suasa.

SAMBUTAN perayaan Adau Janang Gayuh bukan sahaja menjadi tarikan kepada para pelancong tetapi juga merupakan satu manifestasi kepada kaum tersebut untuk terus memelihara budaya selari dengan kemajuan arus perdana.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, Sabah sememangnya sangat unik kerana mempunyai lebih 30 etnik yang mengamalkan pelbagai budaya dan kepercayaan.

Justeru katanya, adalah penting bagi setiap kaum di negeri ini mengekalkan nilai dan budaya kaum masing-masing agar dapat menyemarakkan lagi keharmonian, perpaduan dan toleransi antara kaum di negeri ini.

"Keunikan kepelbagaian etnik bukan sahaja dilihat menerusi warna warni budayanya akan tetapi yang lebih penting ialah semangat perpaduannya yang sudah tersemai sejak dahulu hingga hari ini.

"Saya percaya seperti perayaan etnik lain di Sabah, sambutan Adau Janang Gayuh juga  sudah pasti menjadi salah satu pemangkin kepada perkembangan sektor pelancongan negara kita, " katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Politik Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Abdul Kusen Hussen Mujahriin Hussen yang mewakili Menteri Pelancongan Seni dan Budaya.

Turut hadir Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS), Janang Gayuh Datuk Seri Panglima Lajim Ukin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias, Datuk Isnin Aliasneh; Adun Membakut, Datuk Arifin Arif; Adun Lumadan, Matbali Musah; Pegawai Daerah Beaufort, Jupry Etok dan Pengerusi Penganjur Adau Janang Gayuh, Ruslan Muharam.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamaddin turut menyarankan agar Kampung Karamis Suasa dijadikan sebagai model perkampungan kaum Bisaya sebagai salah satu destinasi pelancongan yang menarik.

Katanya, melalui inovasi dan kreativiti budaya Bisaya yang ada, beliau yakin perkampungan itu mampu menjadi daya tarikan kepada para pelancong pada masa akan datang.

Tambahnya, kementerian akan sentiasa menyokong dan menggalakkan penubuhan pusat-pusat pelancongan baharu sebagai usaha mempelbagaikan produk pelancongan tempatan.

"Dalam konteks ini, saya berharap PBBS akan terus berusaha mempelbagaikan produk-produk kesenian dan kebudayaan yang releven dengan dunia pelancongan bagi meningkatkan lagi kehadiran pelancong seterusnya menambah pendapatan masyarakat setempat, " katanya.

  • oleh
  • Advertisement