Anda di sini

Pelajar Pra-Universiti menang hadiah utama peraduan Maggi

Advertisement
JENIFER (empat kiri) menyampaikan replika kunci kepada Nurin (tiga kanan) sambil diperhatikan oleh tetamu kehormat yang lain.
JENIFER (empat kiri) menyampaikan replika kunci kepada Nurin (tiga kanan) sambil diperhatikan oleh tetamu kehormat yang lain.

KOTA KINABALU: Rezeki tidak pernah salah alamat, begitulah nasib Nurin Athilah Mohd Azium,19, apabila berjaya memenangi hadiah utama Peraduan Jom Masak dan Menang bersama Maggi 2019 yang berlangsung di salah sebuah pusat beli-belah di sini pada Ahad.

Nurin yang kini sedang mengikuti pengajian Pra Universiti dalam semester akhir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Marudu itu membawa pulang kereta jenis Isuzu D-Max X-Series bernilai RM136,000.

Remaja kelahiran Sandakan ini berjaya mengalahkan dua lagi peserta pada pertandingan akhir peraduan yang menguji ketangkasan, daya ingatan dan kemahiran memasak.

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, dia sama sekali tidak menyangka akan memenangi hadiah utama peraduan berkenaan.

"Saya dan ahli keluarga yang lain hanya mengisi borang peraduan Maggi ini untuk mencuba nasib.

"Tidak sangka pula rezeki saya ada di sini, dan saya amat bersyukur diberikan peluang oleh Maggi... terima kasih Maggi!," katanya sambil tersenyum gembira.
Selain itu, hadiah tempat kedua dan ketiga pula dimenangi oleh Zuhanita Johari, 32, dan Muhamad Rusli Jaafar, 32, yang mana masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan RM3,000.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pendidikan dan Inovasi Jenifer Lasimbang.

Sambil memuji usaha Maggi itu, Jenifer berharap penganjuran program itu akan terus dilaksanakan dan mencadangkan supaya mempergiatkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) jenama masakan nombor satu itu.

"Kita juga amat berterima kasih kepada Maggi kerana terus mempromosikan Pesta Kaamatan iaitu perayaan yang disambut setiap tahun oleh semua rakyat di negeri ini.

"Saya percaya dengan adanya acara sebegini, sudah pasti jenama masakan tempatan ini akan lebih komersil yang bukan hanya di dalam bahkan di luar negara," katanya.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Pengguna Maggi Malaysia Ivy Tan Link Cheh berkata, peraduan yang masuk edisi kelima itu mencatatkan jumlah penyertaan dari Sabah lebih daripada 137,000 orang.

Katanya, ia menandakan lagi satu mercu jaya untuk Maggi, membuktikan peraduan itu sudah diterima dalam kalangan pelanggan setia termasuk rakyat di Sabah yang sukakan produk-produk MAGGI® yang istimewa, mudah disediakan dan enak dimakan.

Sepanjang peraduan bermula 1 Mei hingga 30 Jun itu, pihak penganjur turut mengadakan program jerawaraya Maggi di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Beaufort, Kota Marudu dan Keningau, yang turut diperhebatkan dengan kemunculan khas oleh Cruiser Era FM di lokasi terpilih.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengurus Jualan dan Operasi Am Sabah, Brunei, Nestle Product Sdn Bhd Quek Teng Hiong dan Ketua Anak Negeri Flora Mobilik mewakili Penolong Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Jannie Lasimbang.
 

  • oleh
  • Advertisement