Anda di sini

Pakatan Harapan akan bawa perubahan di Sarawak - Chong

Advertisement
 

KUCHING: Perubahan ke arah kerajaan negeri lebih baik yang hendak dilakukan di Sarawak memerlukan parti pemerintah di peringkat persekutuan, kata Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak Chong Chieng Jen.

Sambil memberitahu Pakatan Harapan mampu membawa perubahan itu, beliau berkata parti tempatan seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mampu berbuat demikian.

"GPS menghangatkan sentimen rakyat bahawa pakatan adalah parti Malaya. Ini adalah mesej yang mengelirukan dan tidak benar. 

"Pakatan Harapan adalah parti nasional dan untuk membawa perubahan kepada Sarawak anda memerlukan parti nasional dan bukannya parti tempatan seperti GPS," katanya pada Majlis Makan Malam Harapan Baru Sarawak di sini, malam ini.

Justeru, beliau mahu rakyat Sarawak memilih Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri yang akan diadakan selewat-lewatnya pada 2021.

Sambil menyifatkan pilihan raya itu sebagai pertarungan hebat antara Pakatan Harapan dan GPS,  beliau mahu rakyat memahami usaha bagi membaiki negara yang dilakukan Pakatan Harapan selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei tahun lepas.

Sementara itu, pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian menyeru parti komponen PH Sarawak melakukan gerak kerja yang sistematik bagi menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang. 

"Saya berkeyakinan tinggi bahawa kita dapat ambil alih pemerintahan Sarawak daripada GPS pada pilihan raya negeri yang akan diadakan selewatnya pertengahan 2020 atau 2021. 

"Kerajaan PH mempunyai hala tuju yang jelas dan akan mentadbir Sarawak dengan cekap, adil dan amanah," ujarnya yang juga Menteri Kerja Raya Malaysia. 

Majlis tersebut dihadiri lebih 1,000 ahli dari empat parti komponen Pakatan Sarawak iaitu DAP, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bumiputera Malaysia (Bersatu). 

Majlis julung kalinya penuh bersejarah ini adalah langkah pertama bagi kempen pilihan raya  negeri PH Sarawak disamping memperkukuhkan lagi komitmen antara komponen parti. 

Majlis tersebut turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Timbalan Presiden PH Pusat, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Ahli Majlis Tertinggi Pusat DAP, Lim Kit Siang. 

  • oleh
  • Advertisement