Anda di sini

Muzium Lotud Borneo jadi sumber jejak sejarah, budaya

Advertisement
MENGABADI potret di hadapan Muzium Lotud Borneo di Berungis.
MENGABADI potret di hadapan Muzium Lotud Borneo di Berungis.

TUARAN: Muzium Lotud Borneo menjadi pilihan sekumpulan pelajar Jabatan Bahasa Institut Pendidikan Guru (IPG) Kent di sini sebagai destinasi pelaksanaan program Jejak Sejarah Budaya dan Sastera pada Jumaat.

Ketua Jabatan Bahasa IPG Kent Linah Bagu berkata turut diadakan oleh 24 pelajar dalam program itu adalah bengkel mengenai budaya, bahasa dan sastera Lotud di muzium yang terletak di Berungis itu.

“Program ini merupakan antara aktiviti Jabatan Bahasa IPG Kampus Kent Tuaran untuk memberi pengetahuan dan kemahiran praktikal mengenai sejarah dan perkembangan budaya serta sastera tradisi warisan nenek moyang Kadazan Dusun,” katanya.

Turut serta dalam program itu ialah Ketua Unit Bahasa Kadazandusun IPG Kent John Gitom.

Menurut Linah, Muzium Lotud Borneo dipilih sebagai tempat pelaksanaan program itu kerana memuatkan keunikan khazanah warisan tradisi nenek moyang, menarik dan terjaga meskipun generasi pewarisnya hanya tertumpu di Tuaran.

Muzium persendirian yang dikendalikan Pediman Jabau itu memiliki koleksi peninggalan sejarah dan budaya dalam aspek pakaian, peralatan serta perkakasan lama, senjata, model rumah dan replika haiwan bertani.

Turut disimpan dalam muzium ialah keterangan mengenai kalendar dalam kehidupan Dusun Lotud dan ritual Tantagas (bobolian) yang amat bersesuaian dengan kandungan kursus kalangan pelajar berkenaan di IPG itu.

Usaha Pediman selaku Yang Dipertua Dewan Perniagaan Dusun Lotud dalam membangun dan melestarikan budaya Dusun Lotud melalui pembangunan muzium itu amat dikagumi.

Beliau mengalu-alukan kolaborasi dan kerjasama dengan pihak IPG Kampus Kent untuk memperkembangkan pelestarian dan pewarisan tradisi budaya di muzium itu.
 

  • oleh
  • Advertisement