Anda di sini

Kenal pasti tujuh cabaran institusi keluarga

Advertisement
FRANKIE (lima kiri) ketika merasmikan Sambutan Hari Ibu Bapa Peringkat Negeri Sabah.
FRANKIE (lima kiri) ketika merasmikan Sambutan Hari Ibu Bapa Peringkat Negeri Sabah.

SANDAKAN: Senario kekeluargaan hari ini menuntut masyarakat untuk terus mendalami serta mencari ilmu keibubapaan dan kekeluargaan agar kesejahteraan keluarga terus lestari dalam cabaran modenisasi dan teknologi.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Hairil Fadzly Md Akir berkata laporan Analisis Situasi Kependudukan dan Kekeluargaan di Malaysia oleh LPPKN pada 2017 telah mengenal pasti tujuh cabaran institusi keluarga masa kini.

Katanya, cabaran itu termasuk kemampuan untuk memiliki anak, harga kediaman di luar kemampuan, peningkatan Bilangan Keluarga Komuter, sumber sokongan sosial keluarga yang terhad, pengangguran dalam kalangan remaja, kelestarian kawasan persekitaran dan penduduk kini mampu hidup lebih lama tetapi dalam keadaan kurang sihat.

"Berikutan itu, pelbagai program pendidikan keibubapaan telahpun dilaksanakan oleh LPPKN di seluruh negara. Sehingga Mac tahun ini, kita telah melaksanakan sebanyak 21,561 program pendidikan kekeluargaan dan telah memberi manfaat kepada 2.7 juta peserta.

"Pihak kita juga telah melaksanakan pelbagai program intervensi dan advokasi berkaitan isu-isu sosial, pembangunan kendiri remaja dan keluarga seperti Kemahiran Keibubapaan menggunakan Modul KASIH, SMARTSTART, Modul Cakna Diri Remaja dan Ibu Bapa, Modul PEKA dan Modul Semarak Kasih.

"Dengan cabaran institusi keluarga hari ini, setiap ibu bapa harus selari mengejar ilmu keibubapaan agar berupaya mengendalikan sebuah keluarga yang berkualiti dan harmoni ke arah pembinaan negara Malaysia yang sejahtera," katanya sempena Sambutan Hari Ibu Bapa Peringkat Negeri Sabah di sini pada Ahad.

Majlis perasmian sambutan itu telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon Ming Fung.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Margaret Cornillius, Pemangku Pengarah LPPKN Negeri Sabah Suzanna Piny dan Timbalan Presiden 1 Majlis Perbandaran Sandakan Haji Mohd Hamsan Awang Supain.

Sambutan Hari Ibu Bapa pada tahun ini dijayakan dengan pelaksanaan Forum Kitakan Keluarga: Membina Harapan Malaysia Baharu yang bertujuan mendapatkan input dan pandangan mengenai pembentukan Deklarasi Keluarga.

Seramai 300 peserta terdiri daripada pelbagai pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan, pihak swasta dan individu di daerah ini telah menghadiri forum itu manakala, panel forum terdiri daripada Dr Ananglangka Md Kassim, Noraini Sulong dan Ahmad Farid Sainuri.

Turut diadakan, kaunter khidmat pelanggan oleh 15 jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.
 

  • oleh
  • Advertisement