Anda di sini

Coleman tempah tiket ke Kejohanan Dunia tahun ini

Advertisement
 Coleman (tengah) mendahului peserta lain dalam acara akhir 100 meter lelaki di Kejohanan AS di Iowa. — Gambar AFP
PANTAS: Coleman (tengah) mendahului peserta lain dalam acara akhir 100 meter lelaki di Kejohanan AS di Iowa. — Gambar AFP

DES MOINES: Christian Coleman memenangi acara 100 meter di kejohanan Amerika Syarikat kelmarin untuk menempah tempat di Kejohanan Dunia pada tahun ini.

Coleman, dengan selesa menewaskan juara dunia Justin Gatlin pada peringkat separuh akhir dalam masa 9.96 saat, berada di depan dari mula hingga akhir pada peringkat akhir di Stadium Drake untuk menang dalam masa 9.99 saat.

Gatlin, yang sudah menjamin tiket ke Kejohanan Dunia menerusi pingat emasnya pada 2017, memilih untuk tidak menyertai peringkat akhir ekoran kekalahannya pada peringkat separuh akhir.

Ini bermakna cabaran tiada bagi Coleman, yang meluru dari blok dan dengan pantas untuk menjarakkan diri daripada pelari lain.

Michael Rodgers berada jauh di tempat kedua dalam masa 10.12 saat manakala Christopher Belcher di tempat ketiga.

Ia ternyata kemenangan yang memuaskan bagi Coleman, lelaki terpantas di dunia pada tahun ini dalam acara 100 meter dengan masa 9.81 saat yang terbaik pada musim ini.

Pelari berusia 23 tahun itu akan menyertai kejohanan dunia di Doha sebagai lelaki untuk ditewaskan dalam acara pecut utama.

Dalam acara 100 meter wanita akhir, profesional baharu Teahna Daniels membuat kejutan apabila dia menang dengan catatan masa 11.20 saat.

Atlet berusia 22 tahun dari Texas itu bermula dengan lancar dan memecut untuk berada di depan pada bahagian pertengahan untuk memintas pemenang pingat emas Olimpik 2016 English Gardner dan menduduki tempat pertama.

Gardner menduduki tempat kedua dalam masa 11.25 saat manakala Morolake Akinosun di tempat ketiga dalam masa 11.28 saat.

Namun kekecewaan dialami Sha’Carri Richardson, wanita ketiga terpantas di dunia dalam acara 100 meter, yang gagal untuk melayakkan diri selepas dia menamatkan larian di tempat terakhir.

Sementara itu Daniels, yang menjadi profesional hanya pada minggu ini, berkata dia mempamerkan prestasi yang hebat di Des Moines kerana diet yang menyaksikannya menghilangkan berat badan sebanyak 8.61 kg sejak Disember pada tahun lepas. — AFP

Advertisement