Anda di sini

Bale bakal ke Liga Super China

Advertisement
BALE
BALE

PARIS: Penyerang Real Madrid Gareth Bale kelmarin dilaporkan bakal menandatangani perjanjian “£1 juta (RM6 juta) seminggu” bersama kelab Liga Super China, Jiangsu Suning.

Pemain Wales berusia 30 tahun itu sudah pun dimaklumkan oleh jurulatih Real Zinedine Zidane bahawa dia tidak menjadi sebahagian daripada rancangannya pada masa depan di kelab gergasi Sepanyol itu.

Akhbar harian di Sepanyol Marca mendakwa Bale, yang sudah bersama Real sejak 2013 selepas ditandatangani dari Tottenham, akan mendapat 22 juta euro (RM106 juta) semusim di China dan perjanjian hampir dimuktamadkan.

Bagaimanapun laporan yang menyusul oleh Sky Sports di England membayangkan wakil pemain itu sedang membincangkan kontrak £1 juta seminggu sebelum jendela perpindahan China ditutup pada Rabu ini.

Zidane berkata pada hujung minggu lepas, dia merasakan ia adalah “paling baik bagi semua” jika pemergian Bale dapat diatur secepat mungkin – kenyataan yang dianggap oleh ejen Bale sebagai “tidak menghormati” pemain yang telah membantu kelab itu memenangi kejuaraan liga Sepanyol dan empat Liga Juara-Juara sejak dia tiba dari Tottenham enam tahun lalu.

Zidane kemudian menegaskan Isnin lepas bahawa dia bermaksud untuk tidak menunjukkan penghormatan sebelum Bale dimasukkan sebagai pemain gantian dalam kemenangan persahabatan 3-2 pada pertengahan minggu ke atas Arsenal di Amerika Syarikat.

“Dia bermain dengan baik dan saya gembira untuknya,” kata Zidane. “Saya tidak tahu apa yang akan berlaku, buat masa sekarang, dia bersama kami. Ia tidak mengubah apa-apa.”

Ejen Bale, Jonathan Barnett, sudah pun menegaskan sebarang perjanjian yang menyaksikan pemain Wales itu meninggalkan Bernabeu mestilah bersifat tetap dan bukannya perjanjian yang menyaksikannya dijadikan pemain pinjaman.

“Perjanjian sementara tidak akan dimeterai untuk mengeluarkannya dari kelab,” kata Barnett.

“Gareth merupakan salah seorang pemain terbaik di atas planet ini. Saya boleh memberi jaminan kepada anda bahawa dia tidak akan dipinjamkan kepada mana-mana kelab.” — AFP

Advertisement