Anda di sini

Warga emas 60 tahun ke atas di Sarawak layak miliki kad warga emas

Advertisement
Fatimah bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas Dialog Input Komuniti di Dewan Masyarakat Lundu hari ini.
Fatimah bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas Dialog Input Komuniti di Dewan Masyarakat Lundu hari ini.

LUNDU:  Warga emas berumur 60 tahun dan ke atas layak untuk memiliki kad warga emas yang bakal dikeluarkan oleh Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak. 

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata cadangan untuk mengeluarkan kad itu adalah untuk menjaga kebajikan, kepentingan dan kesejahteraan warga emas di negeri ini.

"Kita akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berhubung kad ini kerana kita tidak mahu ia sekadar kad tetapi kad yang bermanfaat kepada warga emas kita dari pelbagai sudut. 

"Jika mendapat sokongan dan tiada halangan, kad ini mungkin dapat kita keluarkan pada hujung tahun ini atau awal tahun (depan), " katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Dialog Input Komuniti Masalah Dokumen Pengenalan Diri dan Perkahwinan Tidak Teratur di Dewan Masyarakat Lundu di sini hari ini. 

Tambah Fatimah, Sarawak dijangka menjadi negeri tua pada tahun 2030 dengan antara 15 hingga 16 peratus daripada populasinya adalah dari kalangan yang berumur 65 tahun dan ke atas. 

Justeru katanya, penting untuk kumpulan warga emas ini mempunyai jaminan hari tua yang baik dari segi kewangan dan kesihatan untuk penuaan yang sihat dan produktif. 

Antara manfaat yang dinikmati oleh pemegang kad itu, rawatan di klinik atau hospital, diskaun penerbangan dan pengangkutan awam, lindungan insuran dan lain-lain manfaat yang akan diperhalusi kelak.

  • oleh
  • Advertisement