Anda di sini

Semoga dipermudahkan pencarian

Advertisement
 
 Kimkee menunjukkan gambar anak saudaranya, L/Kpl Moses Logers yang dilaporkan hilang di Pulau Perak, Kedah sejak Jumaat lepas ketika ditemui Bernama di kediaman Moses di Kampung Senibong, Bau semalam. — Gambar Bernama
RAPAT: Kimkee menunjukkan gambar anak saudaranya, L/Kpl Moses Logers yang dilaporkan hilang di Pulau Perak, Kedah sejak Jumaat lepas ketika ditemui Bernama di kediaman Moses di Kampung Senibong, Bau semalam. — Gambar Bernama

SIBU: Tempoh perkhidmatan Koperal David Edmund Rapi, seorang daripada anggota Batalion Keempat, Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) yang dilaporkan hilang di Pulau Perak, Kedah sejak lewat malam Jumaat lalu hanya tinggal dua tahun saja lagi.

Menurut adiknya Nur Lina Aisyah Edmund Rapi, David, 39, pernah melahirkan rasa gembiranya kerana bakal bersara daripada perkhidmatan tersebut.

“Sejak kebelakangan ini dia kerap balik dan kali terakhir ialah pada bulan Jun lalu,” kata Norliana yang menambah sebelum itu sejak mula berkhidmat 20 tahun lalu, abangnya itu jarang balik ke kampung.

Pada Sabtu lalu, ketibaan anggota polis ke rumah keluarganya di Kampung Baru Cina, Dalat di Bahagian Mukah membawa berita yang mengejutkan buat mereka.

“Ibu bapa kami memang terkejut dengan berita (kehilangan David) itu tetapi mereka bersabar dan mengharapkan yang terbaik. Kami difahamkan operasi pencarian sedang giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Nor Lina memberitahu, keluarganya menghubungi pegawai Batalion 4 RRD dari semasa ke semasa untuk mendapatkan perkembangan mengenai pencarian abangnya itu.

David akan sentiasa memaklumkan keluarga jika dia menyertai mana-mana operasi yang dijalankan pasukannya, namun bagi Operasi Pejarak (Ops Pejarak) di Pulau Perak, beliau tidak memaklumkan keluarganya.

Kali terakhir abangnya menghubungi keluarga ialah selepas balik dari bercuti di kampungnya Jun lalu.

“Selepas itu, dia langsung tidak menghubungi kami kerana biasanya dia akan berpesan agar kami menghubungi pasukannya ataupun polis jika gagal menghubunginya ketika operasi,” kata Norliana.

Ketiadaan David dan rakannya L/Kpl Moses Logers, yang berasal dari Bau, dikesan pada lewat malam Jumaat lalu ketika Ketua Penempatan membuat perbarisan pemeriksaan malam bagi mengira kekuatan anggota.

Sehubungan itu, usaha mencari dan mengesan dua anggota berkenaan dijalankan oleh anggota yang bertugas di pulau itu, bagaimanapun ia dihentikan pada awal pagi 20 Julai, berikutan angin kuat serta hujan lebat selain penglihatan yang amat terhad.

Operasi mencari dan menyelamat diteruskan pada 10 pagi 20 Julai oleh Tentera Darat dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Sementara itu di KUCHING, ibu saudara Moses, Kimkee Jiwa, 50, berkata kali terakhir anggota tentera itu balik kampung selama seminggu adalah semasa perayaan Gawai Dayak bulan lepas.

Beliau berkata, Moses, 25, yang berasal dari Kampung Senibong di Bau dekat sini, telah berkhidmat hampir lima tahun di Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4RRD) yang berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis.

“Dia seorang yang sangat baik dan saya memang rapat dengannya, perkara ini (kehilangan Moses) memang tidak disangka dan macam mimpi sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama di kediaman Moses di Kampung Senibong, Bau semalam.

Kimkee berkata, dua anggota keluarga terdekat Moses telah pergi ke Kem Bukit Cowder, Perlis semalam untuk mengetahui lebih lanjut perkembangan terkini dengan harapan anak bongsu daripada lima adik-beradik itu dijumpai selamat.

Ops Pejarak merupakan operasi yang dilaksanakan di bawah kawalan Markas Pemerintahan Armada Barat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ia melibatkan penempatan anggota Tentera Darat Malaysia di dua pulau antara perairan Kedah dan Perak. - Bernama

Advertisement