Anda di sini

Syukur, Nurhanifah bersekolah semula hasil bantuan orang ramai

Advertisement
NURHANIFAH 

KUCHING: Selepas kira-kira tiga bulan tidak bersekolah ekoran kekangan kewangan dihadapi keluarga, esok umpama hari baru yang amat bermakna bagi seorang pelajar Tingkatan Lima, Nurhanifah Mohd Fadillah apabila meneruskan semula persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Matang Jaya.

Nurhanifah yang akan menduduki SPM mampu tersenyum semula apabila orang ramai yang prihatin menghulurkan bantuan kewangan apabila mengetahui kisah kesukaran hidup keluarga tersebut menerusi media sosial.

Kisah pelajar itu menjadi tular selepas ia dipaparkan Penolong Pegawai Sosial Ekonomi YAKIN, Nurasfaridah Umar menerusi Twitter pada 20 Julai.

Nurasfaridah ketika dihubungi Utusan Borneo hari ini memberitahu, selepas kisah Nurhanifah tular di media sosial ramai pihak tampil menghulurkan sumbangan kewangan.

"Hasil daripada sumbangan itu, Nurhanifah akan kembali ke sekolah pada hari esok (Rabu) dan dia boleh meneruskan pelajarannya seperti biasa," katanya.

Kisah mengenai gadis berusia 17 tahun itu bersama dua adiknya, Nurhazlina, 14, dan Mohammed Haziq, 12, yang cacat penglihatan menjadi tular lepas dikongsikan Nurasfaridah melalui Twitter sehingga menerima lebih 12,000 perkongsian di platform media sosial itu.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, kehidupan mereka di Kuching bersama bapa, Mohd Fadillah Idris, 45, berubah sepenuhnya selepas kematian ibunya , Rosnani Suhaili pada 2009.

"Dekat 90 hari dah saya tidak pergi ke sekolah. Cikgu ada minta bapa hantar ke sekolah , tapi dia tidak mampu sebab kekurangan wang . Tak ada duit  untuk beli minyak kereta," katanya.

  • oleh
  • Advertisement