Anda di sini

Pacquiao tolak kemungkinan bertarung dengan Amir Khan

Advertisement
PACQUIAO
PACQUIAO

LAS VEGAS, Amerika Syarikat (AS): Manny Pacquiao kelihatan menolak satu kemungkinan pertarungan dengan Amir Khan pada bulan November ini selepas memenangi pertarungan merebut gelaran welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) dengan menewaskan Keith Thurman di Las Vegas  hujung minggu lepas.

Pacquiao, 40, menjadi juara welterweight tertua dalam sejarah dengan menewaskan Thurman berdasarkan kiraan mata di MGM Grand.

Khan mendakwa awal minggu ini di mana beliau dan Pacquiao ada menandatangani perjanjian untuk satu pertarungan di Riyadh, Arab Saudi, pada 8 November.

Tetapi selepas mencipta kemenangan ke-62 dari 71 pertarungan profesional menentang Thurman, peninju AS yang belum pernah tewas sebelum ini, Pacquiao berkata beliau tidak menjangka untuk kembali ke gelanggang pertarungan pada tahun ini.

Pacquiao, yang menewaskan Adrien Broner pada bulan Januari dan belum pernah bertarung tiga kali pada tahun yang sama sejak 2008, adalah seorang senator di Filipina.

“Saya fikir pertarungan saya seterusnya mungkin pada tahun hadapan kerana saya sibuk tahun ini,” kata Pacquiao kepada penyiaran Fox Sports.

“Selepas pertarungan ini, saya kembali ke Filipina untuk mula bekerja sebagai senator.”

Pacquiao berkata beliau merancang untuk menghadiri pertarungan untuk gelaran penyatuan kelas welterweight di antara Errol Spence Jr dan Shawn Porter di Los Angeles pada bulan September.

Khan, juara dunia dua kali dari Britain, bangkit dari kekalahan kepada Terence Crawford pada bulan April dengan memenangi gelaran welterweight Majlis Tinju Dunia (WBC) antarabangsa selepas menewaskan Billy Dib di Jeddah minggu lepas.

Khan kemudian berkata: “Pertarungan seterusnya ialah di Arab Saudi, ia akan berlangsung di Riyad dan ia akan berlaku pada 8 November.

“Saya berharap boleh bertarung dengan Manny Pacquiao, kami sudah menandatangani kontrak untuk pertarungan ini dan saya berharap beliau mengharungi pertarungan dengan baik dan kemudian kami akan bertarung pada bulan November,” kata Khan sebelum pertarungan di antara Pacquiao dan Thurman.

Pacquiao ada menumbangkan Thurman pada pusingan pertama pertarungan Sabtu lepas tetapi pertarungan berlarutan sehingga tamat 12 pusingan. — Reuters

Advertisement