Anda di sini

Ejen Bale melabelkan Zidane sebagai ‘memalukan’

Advertisement
ZIDANE
ZIDANE

LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS): Ejen pemain Gareth Bale melabelkan jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane sebagai ‘memalukan’ selepas jurulatih dari Perancis itu mendedahkan kelabnya bersedia melepaskan Bale dalam tempoh beberapa hari lagi.

Zidane tidak menurunkan Bale dalam skuad Real yang tewas 1-3 kepada Bayern Munich pada perlawanan persahabatan pramusim di Houston, dan selepas perlawanan, beliau mendedahkan Bale telah digugurkan dari skuad kerana kelab “berusaha untuk melepaskan beliau”, sambil menambah beliau mengharapkan ia akan berlaku secepat mungkin “untuk kepentingan semua pihak”.

“Zidane memalukan, beliau tidak menunjukkan rasa hormat kepada seorang pemain yang telah memberikan begitu banyak untuk Real Madrid,” kata ejen Bale, Jonathan Barnett ketika memberitahu AFP.

Ditanya sama ada Bale hampir meninggalkan Madrid, Barnett menambah: “Kami sedang melakukannya.”

Bale dibekukan dari skuad utama oleh Zidane walaupun membantu pasukan itu memenangi kejuaraan La Liga Sepanyol dan empat kejuaraan Liga Juara-Juara sejak tiba dari Tottenham Hotspur enam tahun yang lalu.

Dua gol beliau, termasuk satu gol akrobatik, menewaskan Liverpool di final 2018 tetapi beliau digugurkan oleh Zidane sebaik sahaja kembali sebagai jurulatih Real pada awal bulan Mac selepas melepaskan jawatan pada akhir musim.

Selepas pelantikan semula Zidane, Bale hanya bermain 90 minit perlawanan sebanyak tiga kali dari baki 11 perlawanan, tidak langsung berada dalam skuad perlawanan sebanyak empat kali dan seri menjadi pemain gantian bila sahaja beliau masuk ke dalam padang.

Beliau dinafikan satu peluang untuk mengucapkan selamat jalan pada akhir musim lepas apabila dibiarkan di bangku simpanan ketika Real tewas 0-2 kepada Real Betis, yang menyaksikan skuad Real dicemuh penyokong sendiri.

Bagaimanapun, Zidane menegaskan layanan beliau kepada Bale bukan “bersikap peribadi’, walaupun Bale akan dialu-alukan di beberapa kelab terbesar Eropah.

“Ada ketika apabila semuanya terpaksa dilakukan,” tambah Zidane selepas tewas kepada Bayern.

“Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan beliau. Kami harus membuat keputusan dan mengubah sesuatu, itu sahaja.

“Saya tidak tahu jika ia berlaku dalam masa 24 atau 48 jam. Situasi akan berubah dan ia adalah terbaik untuk semua pihak.”

Bale menyertai Real Madrid dengan yuran perpindahan besar dan juga gaji lumayan, yang mungkin menjadi halangan untuk kelab lain membelinya.

Beliau mempunyai baki tiga tahun dari kontrak semasa dan dikaitkan dengan kepulangan ke Spurs, ke Manchester United dan Bayern Munich. — AFP

Advertisement