Anda di sini

Sarawak julang Piala Sukan Voktek

Advertisement
 Mohd Hakimi (kiri) bersama pasukannya mengibarkan bendera Sarawak selepas muncul juara Piala Pusingan Bola Sepak Karnival Sukan Voktek, di Johor Rabu lalu.
KAMI JUARA: Mohd Hakimi (kiri) bersama pasukannya mengibarkan bendera Sarawak selepas muncul juara Piala Pusingan Bola Sepak Karnival Sukan Voktek, di Johor Rabu lalu.

MIRI: Selepas menunggu selama 22 tahun, Sarawak diwakili Kolej Vokasional Miri menjulang Piala Pusingan Bola Sepak Karnival Sukan Voktek di Johor, Rabu lalu.

Paling manis, pemainnya - Rick Lihan Raymond muncul wira apabila menjaringkan dua gol membantu pasukannya menewaskan Perlis di pentas akhir.

“Kita akhirnya mencipta sejarah tersendiri apabila julung kali muncul juara sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan selama 22 tahun kejohanan tersebut,” kata Ketua Jurulatihnya, Mohd Hakimi Man kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Mohd Hakimi berkata, meskipun terikat 1-1 hingga hampir tamat perlawanan separuh masa kedua namun berjaya meraih gol kemenangan pada minit ke-90.

“Jaringan pada saat-saat akhir separuh masa kedua membuktikan keazaman pemain-pemain Sarawak mencipta kejuaraan menerusi gol cantik oleh Rick Lihan,” katanya.

Pertemuan akhir itu berlangsung di Stadium Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) Batu Pahat, Johor disaksikan lebih 500 penyokong masing-masing.

Mohd Hakimi berkata, pencapaian terbaik pasukan Sarawak itu adalah selaku naib juara pada 2005 dan 2016.

Malah, katanya kejohanan itu juga sebelum ini telah melahirkan beberapa pemain profesional seperti Joseph Kalang Tie dan Filimon Anyie Standly.

“Kita percaya beberapa pemain Sarawak mampu menyinar pada kejohanan ini seterusnya bakat-bakat mereka dihidu pasukan bola sepak tempatan,” katanya.

Advertisement