Anda di sini

Bersukan tingkat kualiti kesihatan dan produktiviti

Advertisement
PETER memulakan permainan ping pong sebagai simbolik perasmian Sukan Dwi Tahunan KPI 2019.
PETER memulakan permainan ping pong sebagai simbolik perasmian Sukan Dwi Tahunan KPI 2019.

KOTA KINABALU: Budaya bersukan adalah cara terbaik meningkatkan kualiti kesihatan dan produktiviti.

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony bersyukur kerana kementeriannya bersama jabatan serta agensi di bawahnya telah menghidupkan semula sukan dwi tahunan kementerian itu yang kali terakhir dibuat pada 2015.

Beliau berkata, sukan itu membantu membentuk warga kerja menjadi lebih berdaya saing, berdisiplin, mendidik semangat kerjasama yang utuh, memupuk semangat juang tinggi serta bersedia menghadapi segala cabaran dan rintangan yang mendatang.

"Justeru, saya menggesa supaya budaya atau sikap proaktif ini dapat dikekal dan diaplikasikan dalam perkhidmatan seharian kita kelak untuk membolehkan kita mencapai objektif jabatan dan agensi masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sukan Dwi Tahunan Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI) 2019 di Dewan Serbaguna KPI/Jabatan Kerja Raya (JKR), Sembulan, di sini pada Sabtu.

Turut bersama ialah Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Haji Abdul Muis Picho, Setiausaha Tetap KPI Dr Ismail D Charles, pegawai-pegawai kanan KPI, jabatan dan agensi di bawahnya serta pasukan-pasukan yang mengambil bahagian.

Perasmian itu juga serentak dengan permulaan pertandingan sukan ping pong yang berlangsung di venue sama anjuran KPI.

PASUKAN-PASUKAN bergambar bersama Peter dan tetamu kehormat selepas majlis perasmian Sukan Dwi Tahunan KPI 2019 di Dewan Serbaguna KPI/JKR Sembulan pada Sabtu.
PASUKAN-PASUKAN bergambar bersama Peter dan tetamu kehormat selepas majlis perasmian Sukan Dwi Tahunan KPI 2019 di Dewan Serbaguna KPI/JKR Sembulan pada Sabtu.

Ping pong adalah antara enam acara yang dipertandingkan di mana acara seterusnya ialah futsal anjuran Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) pada 27 Julai di Labuan.

Ia disusuli dengan acara tenpin boling anjuran Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) pada 3 Ogos, bola tampar (JKR - 7 September) dan badminton (Jabatan Air Negeri Sabah - 28 September).

Sukan itu akan diakhiri dengan acara karnival pada 19 Oktober.

"Adalah menjadi harapan saya supaya penganjuran sukan pada kali ini dapat berjalan dengan penuh semangat kesukanan dan semangat muhibah yang tinggi dalam kalangan peserta," kata Peter.

  • oleh
  • Advertisement