Anda di sini

Alam sekitar lestari, mampan mampu jadi jenama tarik pelabur

Advertisement
DARELL LEIKING
DARELL LEIKING

KOTA KINABALU: Kemampanan dan kelestarian alam sekitar mampu menjadi jenama bagi sesebuah negeri dan negara untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam pelbagai sektor termasuk teknologi hijau, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

Beliau berkata alam sekitar terpelihara daripada sebarang aktiviti menyumbang kepada perubahan iklim seperti banjir dan pengurusan sampah tidak teratur juga dilihat mampu memberi imej baik serta kepercayaan pelabur terhadap komitmen kerajaan dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.

“Ini (kemampanan alam sekitar) adalah antara aspek penting ntuk mempelawa pelabur masuk kerana mereka (pelabur) juga ingin tahu undang-undang yang memberi jaminan sesebuah daerah itu tidak menjadi penyumbang kepada kemusnahan alam sekitar.

“Jika kita di Sabah menjaga alam sekitar dan memastikan persekitaran bersih dan undang-undang (berkaitan penjagaan alam sekitar) dikuatkuasakan, (pelabur) akan suka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum ‘Global Covenant of Mayors for Climate and Energy’ di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah serta Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Nordin Siman.

Darell mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah mempelajari pendekatan terbaik dalam menguruskan daerah mahupun bandar terutama berkaitan aspek tebatan banjir khususnya di Penampang, Kota Kinabalu, Tawau yang sering mengalami masalah banjir kilat.

Beliau berkata PBT di negeri ini juga perlu mengenal pasti punca sebenar banjir kilat berlaku bagi membolehkan penyelesaian konkrit dicapai selain mahu rakyat memberi kerjasama sepenuhnya mematuhi undang-undang berkaitan yang dikuatkuasakan kerana memulihara alam sekitar adalah tanggungjawab bersama.

Dalam perkembangan lain, Darell yang juga Ahli Parlimen Penampang meminta rakyat Sabah terutama di kawasannya memberi masa kepada kerajaan negeri untuk menjelaskan secara terperinci mengenai kawasan dicadangkan bagi pembinaan empangan Papar.

Darell berkata beliau belum melihat pelan serta reka bentuk empangan itu, bagaimanapun menurutnya, Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony telah diarahkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menjelaskan perkara berkenaan kepada rakyat.

Sebelum ini, Peter berkata pembinaan empangan Papar perlu dilaksanakan sebagai langkah jangka panjang bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air di Papar, Kota Kinabalu dan Penampang. Pembinaannya dijangka bermula pada 2024. — Bernama

Advertisement