Anda di sini

Sabah tubuh jawatankuasa khas kabinet bangunkan pelancongan luar bandar

Advertisement

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menubuhkan jawatankuasa khas kabinet bagi memantau dan melipatgandakan inisiatif pembangunan sektor pelancongan luar bandar negeri secara bersepadu.

Jawatankuasa khas itu dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dibantu Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Ewon Benedick.

Ewon yang mempengerusikan mesyuarat  pertama jawatankuasa itu semalam berkata jawatankuasa itu bersetuju polisi mengenai perusahaan pelancongan luar bandar, aktiviti pelancongan luar bandar di hutan, pulau dan pesisir pantai serta keperluan menaiktaraf jalan ke pusat pelancongan komuniti, diwujudkan.

“Jawatankuasa juga bersetuju program promosi, pemasaran dan pembangunan produk pelancongan luar bandar sedia ada diperkasakan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata kerajaan negeri juga perlu memperkenal polisi khusus sektor pelancongan luar bandar mencakupi isu pengeluaran lesen, pematuhan aspek keselamatan dan pelan pembangunan.

“Polisi ini perlu disertai dengan proses yang bersifat memudah cara komuniti atau pengusaha dalam membangunkan potensi pelancongan di tempat mereka,” katanya.

Ewon berkata jawatankuasa itu turut mencadangkan jalan ke pusat pelancongan dikategorikan sebagai jalan pelancongan luar bandar supaya peruntukan khusus dapat disediakan dan perkara itu telah dibincangkan dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam lawatannya ke Sabah baru-baru ini.

Beliau berkata pihaknya akan mengesyorkan pembangunan jalan-jalan pelancongan luar bandar termasuk menyediakan data terperinci kategori jalan-jalan berkenaan di seluruh Sabah untuk dibincangkan dengan lebih lanjut bersama menteri berkaitan di peringkat persekutuan.

Ewon berharap jawatankuasa khas itu dapat menyediakan usaha bersepadu ke arah memperkasa lagi pembangunan sektor pelancongan luar bandar Sabah. — Bernama

Advertisement