Anda di sini

Seramai 60 pelajar UMS ikuti program mobiliti antarabangsa anjuran AIMS

Advertisement

KOTA KINABALU: Seramai 60 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengikuti program mobiliti pelajar peringkat antarabangsa anjuran ASEAN International Mobility for Students (AIMS).

Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global UMS, Prof Dr Ho Chong Mun berkata pelajar berkenaan mengikuti program mobiliti di beberapa universiti luar yang merupakan negara anggota AIMS sejak penglibatan UMS dalam AIMS pada 2016.

Katanya dalam tempoh yang sama, UMS juga menerima seramai 56 pelajar universiti dari negara ahli.

“Pada tahun ini, seramai 11 pelajar UMS telah menjalani program mobiliti ini di Universiti Tsukuba Jepun, Universiti Mae Fah Luang, Universiti Central Luzon State Filipina dan Universiti Daegu Catholic Korea Selatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Ho berkata penglibatan UMS dalam program ini amat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk mengantarabangsakan institusi pendidikan tinggi di negara ini.

Katanya ia juga sebagai satu langkah untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada para pelajar tentang budaya dan kehidupan masyarakat di negara lain.

“Ia sekali gus mampu menyuburkan hubungan antara sesama universiti yang boleh membawa kepada jalinan kerjasama strategik dengan universiti-universiti serta negara yang terlibat.

“Malah baru-baru ini kita di UMS juga amat bertuah kerana diberi kepercayaan oleh Bahagian Education Malaysia (BEM), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membantu menyelaras Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana AIMS 2019 di Kota Kinabalu yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan wakil-wakil universiti dari negara ahli,” katanya.

Sebanyak lapan negara yang terlibat dalam AIMS merangkumi Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Jepun dan Korea Selatan.

Sehingga kini, seramai 1,200 pelajar telah terlibat dalam progam mobiliti membabitkan 61 institusi pengajian tinggi dari seluruh negara anggota AIMS yang mana kesemua pelajar yang terpilih ini akan ditaja melalui biasiswa yang diberikan oleh kerajaan negara masing-masing. — Bernama

Advertisement