Anda di sini

Pembinaan Jambatan Batang Lassa dan Paloh pelengkap jalan pesisir

Advertisement
Julaihi, Abdullah dan Safiee berkunjung ke tapak projek pembinaan Jambatan Batang Lassa.
Julaihi, Abdullah dan Safiee berkunjung ke tapak projek pembinaan Jambatan Batang Lassa.

DARO: Dua projek pembinaan jambatan di kawasan pesisir oleh Kerajaan Sarawak - Jambatan Batang Lassa dan Jambatan Batang Paloh di Bahagian Mukah yang kini sudah bermula dengan kerja-kerja penyiapan tapak bakal melengkapkan jalan pesisir.

Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi berkata projek pembinaan Jambatan Batang Lassa yang bakal menggantikan perkhidmatan feri muara Batang Lassa dari Daro ke Pulau Bruit kini sudah bermula.

Jambatan sepanjang 2.43 kilometer yang dijangka siap dalam tempoh 48 bulan dengan kos RM597.58 juta itu bakal memberi manfaat kepada penduduk khususnya Daro.

"Pelaksanaan projek ini membuktikan Kerajaan Sarawak di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) berusaha membina kemudahan yang diperlukan rakyat di luar bandar," katanya pada mesyuarat persiapan majlis pecah tanah jambatan berkenaan di Pejabat Daerah Daro, hari ini.

Hadir sama, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Abdullah Saidol, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad, Timbalan Residen Bahagian Mukah Abdul Halim Abdullah dan Pegawai Daerah Daro Bujang Rahman Seli.

Majlis pecah tanah itu dijangka akan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 21 Ogos depan.

"Selain perasmian Jambatan Batang Lassa, kita juga menyentuh tentang majlis pecah tanah untuk Jambatan Batang Paloh yang dijangka akan diadakan pada tahun depan.

Kontraktor utama pembinaan Jambatan Batang Lassa ialah Pekerjaan Piasau Konkerit Sdn Bhd, manakala Hock Seng Lee Bhd akan membina Jambatan Batang Paloh.

Jambatan Batang Paloh sepanjang 1.7 kilometer membabitkan kos RM298.98 juta dan dijangka siap pada 7 Mei 2023. Ia akan menggantikan perkhidmatan feri dari Serdeng ke Pulau Bruit.

Berhubung perkara sama, Abdullah ketika ditemui menjelaskan pembinaan jambatan berkenaan membuktikan perjuangan wakil rakyat kawasan pesisir mula menampakkan hasil.

"Mesyuarat hari ini adalah untuk membincangkan persiapan majlis pecah tanah untuk dua projek jambatan yang akan menghubung Pulau Bruit ke Daro (Batang Lassa) dan Serdeng (Batang Paloh).

"Kos pembinaan dua jambatan ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak. 

"Dua kontraktor dipilih melalui tender terbuka dan telah melakukan kerja penyediaan tapak sejak dua bulan lalu," katanya.

Abdullah yang juga ADUN Semop turut memaklumkan beliau telah memohon peruntukan untuk bagi menaik taraf beberapa jalan dalam kawasannya seperti jalan ladang kelapa sawit di Pulau Bruit dan beberapa jalan menghubungkan rumah panjang.

Sejurus selesai mesyuarat, Julaihi ditemani Abdullah dan Safiee turut meninjau tapak projek yang terletak kira-kira empat kilometer dari pekan Daro itu.

Advertisement