Anda di sini

Dadah: Suami isteri terlepas hukuman gantung

Advertisement
Aslan dan Julia bersama peguamnya di hadapan Kompleks Mahkamah Kuching.
Aslan dan Julia bersama peguamnya di hadapan Kompleks Mahkamah Kuching.

KUCHING: Sepasang suami isteri mampu menarik nafas lega apabila terlepas hukuman gantung selepas dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan mengedar 339.344 gram dadah jenis methamphetamine.

Hakim Azhahari Kamal Ramli membuat keputusan itu terhadap Aslan Pardie, 37, dan isterinya, Julia Mohamed Edwin, 36, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

"Mahkamah meneliti keterangan semua saksi pendakwaan dan memutuskan kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri," katanya di sini, hari ini.

Pasangan terbabit didakwa mengedar dadah pada 8 November tahun lalu di sebuah rumah di Jalan Datuk Mohd Musa, Kota Samarahan pada pukul 12.30 tengah hari.

Ketika serbuan dilaksanakan, polis merampas 32 bungkusan kecil yang dijumpai di dalam stor rumah itu.

Menurut peguam mereka, Aslan menjalankan perniagaan menjual pakaian terpakai.

Dia menggunakan stor rumah milik abangnya itu sebagai tempat penyimpanan stok baju.

Justeru, pekerja mereka diberikan akses tanpa had ke rumah kediaman mereka terutamanya akses ke bilik stor.

Ketika pegawai penyiasat pergi ke rumah berkenaan pada 10 November 2018 pula, pagar dan pintu utama yang dikunci menggunakan mangga kelihatan telah diusik.

Hal ini menunjukkan orang luar turut mempunyai akses ke rumah berkenaan.

Berdasarkan kepada faktor-faktor berkenaan, tiada bukti kukuh menunjukkan dadah itu milik pasangan berkenaan dan kedua-duanya yang direman sejak 8 November 2018 dibebaskan hari ini.

Bagi kes ini, pihak pendakwaan yang terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya Haffiza Jemali memanggil 12 orang saksi untuk memberi keterangan mereka mengenai kes terbabit.

Pasangan suami isteri itu didakwa di bawah Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952  dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) akta sama. 

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati, mereka boleh disebat tidak kurang daripada 15 sebatan.

Tertuduh diwakili peguam Osman Ibrahim, RJ Noel dan Fadzillah Osman. 

  • oleh
  • Advertisement