Anda di sini

PSB akan menjadi parti bebas sepenuhnya

Advertisement
WONG
WONG

KUCHING: Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Dato Sri Wong Soon Koh berkata parti itu akan menjadi parti bebas sepenuhnya.

Beliau berkata, PSB kini tidak lagi bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas beliau meletak jawatan sebagai menteri kabinet negeri.

“Pendirian PSB ialah, sebaik saya meletak jawatan, PSB tidak lagi bersama GPS. PSB parti bebas sepenuhnya,” katanya pada sidang media di pejabatnya di bangunan Baitulmakmur dekat sini, semalam.

Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang berkata PSB akan terus maju ke hadapan kerana mempunyai masa depan yang cerah.

Ditanya sama ada PSB akan menyertai Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Wong berkata perkara itu tidak pernah terlintas dalam fikirannya.

“PSB adalah parti Sarawak, berjuang untuk kepentingan Sarawak dan rakyatnya. Menyertai PH tidak pernah saya fikirkan,” ujarnya.

Ketika ini katanya, PSB sudah mempunyai 26 cawangan berdaftar di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan beberapa cawangan bakal ditubuhkan.

Beliau menegaskan PSB tidak melakukan sebarang kesalahan apabila parti merekrut pemimpin-pemimpin yang dipecat daripada parti asal mereka serta mereka yang tidak mewakili parti politik.

Katanya, tindakan diambil PSB adalah untuk memastikan pemimpin serta ahli tanpa parti politik daripada menyertai PH yang kemudiannya menentang GPS.

“Kami mahu mengikat mereka dengan harapan untuk menubuhkan pasukan yang kukuh. Tetapi Masing (presiden Parti Rakyat Sarawak Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata PSB tidak mesra GPS kepada segelintir parti komponen GPS... jadi mereka membantah.

“Tindakan kita ini tidak hanya memperkukuhkan PSB, tetapi juga GPS, ia tidak disenangi dan dilihat sebagai ‘gangguan’,” ujarnya.

Selain itu katanya, wakil rakyat daripada PSB juga tidak mendapat peruntukan di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sejak April tahun ini.

Wong berkata beliau tidak mengetahui sebab sebenar dana di bawah MRP dan RTP wakil rakyat PSB dibekukan.

“Kami semua dipilih di bawah Barisan Nasional (BN) dan MRP adalah wang rakyat. Jika ia dibekukan, saya kata kerajaan GPS enggan memberikannya kepada anda (rakyat),” katanya.

Diminta mengulas mengenai tindakan Datuk Dr Jerip Susil keluar PSB, Wong berkata beliau tidak tahu dan soalan itu seharusnya diajukan kepada Dr Jerip.

“Saya tidak tahu dan saya tidak mahu bercakap mengenai perkara itu (sekarang). Orang terbaik untuk menjawab soalan itu adalah Dr Jerip sendiri,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement