Anda di sini

Panas hati dengar anak menangis, lelaki cederakan nenek

Advertisement
 

JASIN: Gara-gara panas hati mendengar tangisan anak sendiri, seorang lelaki bertindak mencederakan nenek isterinya dengan menampar dan menumbuk wanita itu berkali-kali di sebuah rumah di Kampung Hilir, Batang Melaka di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Arshad Abu berkata dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, Minah Mat, 69, cedera di dahi dan lebam kedua-dua belah mata.

Beliau berkata tindakan cucu menantu itu turut dipercayai menyebabkan neneknya yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Jasin, berisiko hilang penglihatan kerana kedua-dua mata wanita tersebut tidak boleh dibuka akibat lebam. 

“Siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, cucu perempuan mangsa berada dalam bilik air dan bayi perempuannya berusia lapan bulan pula menangis di ruang rumah. 

“Selepas memaki mangsa dengan kata-kata kesat sambil mendakwa mangsa tidak pandai menjaga bayi, lelaki itu memukul neneknya sehingga rebah, kemudian bertindak melarikan diri bersama isteri dan bayi mereka daripada lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Arshad berkata, suspek dan isterinya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu tinggal bersama mangsa sejak mereka berkahwin dan ditanggung sepenuhnya oleh nenek itu yang bekerja sebagai tukang masak kantin di sebuah sekolah agama dengan gaji RM250 sebulan.

Menurut beliau, mangsa yang mendapatkan rawatan awal di Hospital Jasin akan dirujuk ke pakar mata di Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Katanya suspek yang berusia 24 tahun itu ditahan di Bachang, dekat sini pada kira-kira 11 malam Isnin dan ujian air kencingnya juga didapati positif methamphetamine serta mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut seksyen 325 Kanun Keseksaan. - Bernama 

Advertisement