Anda di sini

Polis berkas tukang masak bersama dadah

Advertisement
ZAINI (dua kanan) bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (dua kiri) menunjukkan bungkusan plastik yang mengandungi dadah.
ZAINI (dua kanan) bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (dua kiri) menunjukkan bungkusan plastik yang mengandungi dadah.

KOTA KINABALU: Seorang tukang masak lelaki yang berasal dari Sarawak diberkas polis dengan rampasan dadah bernilai kira-kira RM42,500.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, suspek yang berumur 24 tahun itu ditahan di tepi jalan kawasan Kampung Air di sini pada 12 Julai lepas sekitar jam 12 tengah malam.

Katanya, semasa pemeriksaan dijalankan, suspek didapati membawa satu plastik hitam yang mengandungi puluhan bungkusan paket dipercayai berisi dadah.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya menemukan serbuk dadah disyaki jenis berbahaya seberat 1,746 gram, dadah jenis ketamin seberat 103.4 gram dan sebanyak 300 biji pil ekstasi seberat 97 gram.

"Sebanyak 180 biji pil ekstasi didapati berbentuk beruang manakala 120 biji lagi dalam bentuk obor-obor," katanya semasa sidang media di sini pada Isnin.

Beliau berkata, suspek kini direman selama tujuh hari bermula 12 Julai 2019 untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Zaini berkata, saringan awal ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine, ketamin dan benzo.

Menurutnya, suspek memperolehi bekalan dadah terbabit daripada seorang lelaki di Miri, Sarawak dan cuba menyeludup dadah berkenaan menggunakan pengangkutan udara.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki warga Filipina ditahan di sebuah apartment di Jalan Tuaran di sini kira-kira jam 6.45 petang 12 Julai lepas.

"Polis merampas dadah bernilai RM46,840 melibatkan dadah jenis berbahaya seberat 160 gram, syabu seberat 226 gram dan ketamin seberat 66 gram.

"Siasatan awal mendapati suspek mendapat bekalan dadah daripada seorang warga asing di Semporna dan cuba menyeludup dadah terbabit melalui pengangkutan udara.

"Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 13 Julai lepas di bawah siasatan Seksyen 39B ADB 1952 dan polis juga sedang mengesan suspek pembekal dadah berkenaan," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement