Anda di sini

Masyarakat perlu ada rasa tanggungjawab pelihara warisan dan budaya

Advertisement
MOHAMADDIN (empat kanan) menyampaikan Sijil Anugerah Tokoh kepada Datuk Joseph Punis Guntavid pada majlis berkenaan, turut kelihatan ialah Christina (tiga kanan).
MOHAMADDIN (empat kanan) menyampaikan Sijil Anugerah Tokoh kepada Datuk Joseph Punis Guntavid pada majlis berkenaan, turut kelihatan ialah Christina (tiga kanan).

KOTA KINABALU: Masyarakat di negeri ini disarankan supaya mempunyai rasa tanggungjawab untuk memelihara seterusnya mengekalkan warisan serta tradisi budaya masing-masing.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, tanggungjawab itu penting untuk diteruskan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada generasi akan datang.

"Dalam konteks ini, saya menyeru agar semua usaha yang berkesan diambil bukan sahaja oleh jabatan dan agensi kerajaan, tetapi juga sektor swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi mempromosikan pelancongan berunsurkan kebudayaan.

"Saya yakin dengan adanya kerjasama, penglibatan dan kehadiran rakyat dalam menjayakan program seumpamanya, ia jelas membuktikan kesedaran sokongan padu rakyat terhadap usaha berterusan kerajaan dalam mengukuhkan perpaduan, memelihara dan memartabatkan lagi kebudayaan, adat dan tradisi kita," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan kali ke-23 2019, di sini pada Isnin.

Beliau juga menyemput orang awam supaya mengambil peluang untuk berkunjung ke Kompleks Muzium Sabah bermula 15 sehingga 20 Julai ini kerana pelbagai program dirancang sepanjang acara itu berlangsung.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar tidak menafikan muzium memainkan peranan utama sebagai platform mempromosi destinasi dan produk pelancongan berunsurkan warisan tradisi.

"Ini selari dengan dasar kerajaan bagi memajukan industri pelancongan negara seiring perkembangan pesat industri ini di peringkat dunia.

"Kita perlu merebut peluang yang terbuka luas ini untuk bersaing dengan negara lain di dunia agar industri pelancongan Sabah dan Malaysia bertambah kukuh," katanya.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Assaffal P Alian serta tetamu kehormat lain.
 

  • oleh
  • Advertisement