Anda di sini

Destinasi menyelam di negeri ini perlu diwartakan

Advertisement
MOHAMADDIN (tengah) ketika sidang media selepas merasmikan majlis itu.
MOHAMADDIN (tengah) ketika sidang media selepas merasmikan majlis itu.

KOTA KINABALU: Destinasi pelancongan menyelam di seluruh negeri ini perlu diwartakan demi menjaga keselamatan para pelancong.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, langkah itu dilihat dapat menangani isu jenayah melibatkan para penyelam terutamanya pengeboman ikan di kawasan laut.

"Dengan mewartakan lokasi pelancongan, pihak tidak berkenaan adalah dilarang memasuki kawasan itu dan sekali gus menggalakkan jumlah kedatangan pelancong ke destinasi itu.

"Saya akan mengesyorkan setiap kawasan pelancongan... saya maksudkan kawasan 'diving spot' ini perlu diwartakan.

"Kalau ia diwartakan, bermakna selain daripada pengunjung, pelancong yang akan menyelam ini, tidak ada orang lain yang  boleh masuk ke situ," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan, di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden pengeboman ikan di Semporna baru-baru ini sehingga mengakibatkan kematian tiga penyelam termasuk dua pelancong asing.

Mohamaddin turut menegaskan bahawa sudah tiba masanya perkara itu perlu ditangani secara tuntas.

"Anda lihat masalahnya ialah kita dapat lihat kalau kita tidak wartakan, penyelam ini dia menyelam di dalam, nelayan pula apabila nampak ikan dia lempar bom ke sana, dia tidak tahu ada orang menyelam di dalam.

"Ini yang kita perlu atasi, yang sebetulnya perlu diwartakan. Apabila diwartakan ada yang menjaga, marin kita boleh lantik penjaga tempat itu," katanya.

Selain itu, Mohamaddin turut menyuarakan kebimbangan terhadap kadar pelancong yang datang ke Sabah akan terjejas sekiranya aktiviti bom ikan di negeri ini terus berlaku.

Katanya, sekiranya kegiatan haram itu berterusan ia mampu menjejaskan industri pelancongan Sabah dalam jangka masa panjang.

Mengulas berkenaan bayaran kemasukan ke muzium seluruh negara, Mohamaddin bercadang menaikkan harga tiket masuk untuk seorang.

Katanya berbanding negara luar seperti Laos, harga kemasukan pelawat antarabangsa adalah AS$15.

"Berbanding Malaysia, saya difahamkan bukan RM15 tetapi RM5 sahaja. Saya rasa perlu kita naikkan sedikit.

"Usaha ini kita lihat dari segi kedatangan pelancong yang meningkat setiap tahun. Pendapatan daripada muzium-muzium seluruh negara ini saya rasa kita perlu lihat semua," katanya.

Ketika berucap, beliau berkata Kerajaan Persekutuan berharap dana peruntukan sebanyak RM3 juta yang diberikan kepada Jabatan Muzium Sabah pada tahun ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kedatangan pengunjung tempatan dan antarabangsa ke destinasi pelancongan terbabit.

Katanya, tahun lepas jumlah pengunjung yang datang melawat di muzium-muzium persekutuan mencatat rekod sebanyak 2.35 juta dari kalangan pelancong tempatan serta antarabangsa.

"Saya mahu angka kedatangan itu meningkat menjelang akhir tahun ini. Sebagai hab kebudayaan, aktiviti permuziuman tidak boleh hanya bergantung pada koleksi," katanya.

Menurutnya, pada Oktober depan, Jabatan Muzium Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada persidangan Asia National Museum Association (ANMA) yang bakal disertai lebih 20 negara.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew serta tetamu kehormat yang lain.
 

  • oleh
  • Advertisement