Anda di sini

Tunisia leburkan harapan Madagascar

Advertisement
 Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan suku akhir Piala Negara-Negara Afrika di antara Madagascar dan Tunisia di Stadium Al Salam di Kaherah, Mesir. — Gambar Reuters
CARI GOL: Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan suku akhir Piala Negara-Negara Afrika di antara Madagascar dan Tunisia di Stadium Al Salam di Kaherah, Mesir. — Gambar Reuters

KAHERAH: Tunisia menamatkan kemaraan Madagascar yang mengejutkan dalam Piala Negara-Negara Afrika pada peringkat suku akhir pada Khamis dengan kemenangan 3-0 ke atas negara yang julung kali bermain dalam kejohanan itu di Kaherah.

Rembatan Ferjani Sassi yang masuk selepas bola terkena pemain lain meletakkan Tunisia di depan pada awal babak kedua di Stadium Al Salam dan Youssef Msakni menolak masuk gol kedua pada minit ke-60.

Naim Sliti menambah gol ketiga dalam masa kecederaan untuk membawa Tunisia ke peringkat separuh akhir bagi menentang Sadio Mane dan Senegal, selepas pasukan ‘Carthage Eagles’ mara ke peringkat separuh akhir buat pertama kali sejak mereka memenangi satu-satunya kejuaraan mereka ketika mereka menganjurkan edisi 2004.

“Kami adalah pasukan pertama yang menewaskan Madagascar. Kami perlu melakukannya untuk layak dan itu membuktikan kualiti pasukan ini,” kata jurulatih Tunisia, Alain Giresse.

“Apabila kita sampai ke peringkat ini, yang dinantikan oleh Tunisia selama beberapa tahun, kami mahu melangkah sejauh mungkin. Kami belum mencurinya dari sesiapa, kami memang berhak.”

Jurulatih Madagascar, Nicolas Dupuis, dengan kontrak yang dijangka akan tamat pada hujung pertandingan ini, mengakui Tunisia terlalu kuat.

“Saya sangat bangga dengan apa yang telah dilakukan oleh pemain sejak kejohanan bermula. Saya memberi tabik kepada mereka,” kata Dupuis.

“Pada hari ini, langkah terlalu besar. Mengenai masa depan saya, ia tidak begitu penting. Saya adalah seseorang yang setia dan keutamaan saya adalah Madagascar.”

Giresse memanggil semula Wahbi Khazri ke barisan serangan Tunisia sebagai satu-satunya perubahan kepada pasukan yang mengatasi Ghana dalam penentuan tendangan penalti pada peringkat 16 terakhir, manakala Marco Ilaimaharitra kembali daripada penggantungan apabila Madagascar menurunkan pasukan sama yang digunakan sepanjang fasa kumpulan.

Tunisia, pasukan ranking kedua pada peringkat benua dan ke-25 di dunia, mara ke peringkat suku akhir di sini tanpa memenangi sebarang perlawanan selepas mencatatkan empat keputusan seri berturut-turut.

Selepas perlawanan di Suez dan Ismailia, ini merupakan perlawanan pertama di Kaherah bagi pasukan negara utara Afrika itu, yang menguasai permainan pada awal perlawanan, tetapi sebenarnya tidak memberikan ancaman sehingga tendangan percuma Khazri yang cantik ditolak ke palang gol oleh penjaga gol Madagascar, Melvin Adrien.

Ghailene Chaalali memaksa Adrien untuk menolak rembatan rendah yang janggal ke belakang manakala Mouez Hassen, yang menyesal selepas dia marah setelah digantikan dengan pemain lain sebelum penentuan tendangan penalti pada pusingan terakhir, pada umumnya tidak diuji kecuali oleh cubaan jarak jauh daripada Ibrahim Amada.

Madagascar cuba menjadi pendatang baharu pertama sejak Afrika Selatan pada 1996 untuk mara ke peringkat separuh akhir, tetapi harapan mereka musnah selepas sejam.

Khazri menyaksikan jaringannya dibatalkan kerana ofsaid sejurus selepas waktu rehat, tetapi Sassi menjaringkan gol beberapa minit kemudian apabila rembatannya yang lemah dari tepi kawasan penalti terkena Thomas Fontaine dan melepasi Adrien yang tidak dapat berbuat apa-apa.

Msakni dengan cepat menggandakan kelebihan Tunisia, apabila dia menolak bola yang melantun melepasi Adrien beberapa minit selepas dia menolak rembatan Khazri.

Charles Andriamahitsinoro, yang menjaringkan dua gol untuk Madagascar pada peringkat kumpulan, kelihatan seperti sudah melepasi barisan pertahanan selepas tendangan jauh ke depan tetapi gagal untuk melakukan rembatan.

Amada tidak dapat menghasilkan semula rembatannya yang cantik dalam perlawanan menentang DR Congo apabila dia melakukan rembatan jarak jauh yang tersasar.

Ini merupakan pertemuan kompetitif pertama di antara kedua-dua negara dalam tempoh hampir dua dekad, dan manakala Dupuis sudah mengubah Madagascar daripada sebuah pasukan yang dahulu menduduki ranking ke-190, gol Sliti dalam masa kecederaan, yang dicipta oleh larian jauh Khazri ketika melakukan serangan balas, memastikan ia adalah penamat kepada perjalanan yang menakjubkan bagi pasukan ‘Barea’. — AFP

Advertisement