Anda di sini

PBT disarankan kerjasama dengan pihak industri kitar tayar terpakai

Advertisement
TIMBALAN Ketua Menteri Merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Jaujan Sambakong (tiga kiri) merasmikan Sambutan Hari Denggi Asean Peringkat Negeri Sabah 2019, Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung Datuk Osman Jamal (kiri), Adun Tanjung Batu Datuk Hamisa Samat (dua kiri), Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi (dua kanan).
TIMBALAN Ketua Menteri Merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Jaujan Sambakong (tiga kiri) merasmikan Sambutan Hari Denggi Asean Peringkat Negeri Sabah 2019, Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung Datuk Osman Jamal (kiri), Adun Tanjung Batu Datuk Hamisa Samat (dua kiri), Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi (dua kanan).

TAWAU: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sabah disarankan mewujudkan kerjasama dengan industri berkaitan bagi mengitar semula tayar terpakai untuk dijadikan bitumen atau kegunaan sebagai trek jogging dalam taman permainan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, tayar terpakai sebaik-baiknya tidak dibuang ke laut untuk dijadikan tukun ikan memandangkan kandungan produk itu diperbuat daripada bahan kimia sekaligus boleh menjejaskan hidupan laut.

"Proses balik tayar terpakai ini untuk digunakan sebagai trek jogging di kawasan riadah, ianya juga boleh digunakan dalam taman permainan, gelanggang kompleks sukan dan sebagainya.

"Sebagai contohnya, negara China sudah menggunakan pendekatan seumpamanya. Ini juga memberikan satu peluang keusahawanan kepada industri berkaitan bagi mengusahakan perkara itu," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Denggi Asean Peringkat Negeri Sabah 2019, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, PBT perlu menyahut saranan itu sebagai sumber pendapatan baharu dan tidak hanya bergantung kepada sumber sedia ada.

Katanya, setiap PBT juga digalakkan mencari idea baharu dalam pencarian hasil dengan menggunakan kemudahan disediakan secara sepenuhnya.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut memberi amaran kepada syarikat konsesi yang diamanahkan kerja-kerja pembersihan dan pemotongan rumput agar melaksanakan tugas dengan baik.

"Saya nampak terdapat dalam kalangan mereka ini memotong rumput tetapi membuangnya di dalam parit. Ia sepatutnya dipotong, dikumpul kemudian dibuang ke tempat disediakan dan bukan buang dalam parit.

"Keadaan ini akan menyebabkan aliran air tidak berfungsi dengan baik seterusnya membolehkan pembiakan nyamuk aedes," katanya.

Menurutnya, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk tindakan tegas terhadap syarikat konsesi yang tidak melaksanakan tugas secara amanah.

"Jangan hanya tahu mengambil bayaran sahaja tetapi kerja-kerja tidak disempurnakan, perkhidmatan mesti seimbang dengan bayaran yang diterima," katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan denda mengenakan pesalah kutu sampah memakai jaket dengan perkataan 'monyet' akan diperluaskan ke setiap daerah di negeri ini.

Katanya, perkara itu sekiranya untuk kebaikan dan tidak memudaratkan, ianya perlu diperluaskan ke semua daerah.

"Peraturan sudah ada, denda dibayar tetapi masih ada yang membuang sampah merata tempat, tetapi dengan pengenalan pemakaian jaket ini...terdapat bantahan tapi akhirnya terbukti orang takut membuang sampah.

"Pendekatan ini adalah untuk kesedaran tentang kepentingan kebersihan dan bukannya untuk mengaibkan mana-mana pihak," katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung Datuk Osman Jamal, Adun Tanjung Batu Datuk Hamisa Samat, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi, Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau Tony Koh serta tetamu kehormat yang lain.
 

  • oleh
  • Advertisement