Anda di sini

Awang Mahyan akui kredibiliti Posa terajui FAS

Advertisement
AWANG MAHYAN
AWANG MAHYAN

KUCHING: Legenda ‘Ngap Sayot’ - Awang Mahyan Awang Mohamed tetap menaruh keyakinan terhadap kredibiliti Datuk Posa Majais untuk terus menerajui Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

Beliau mengakui bahawa ketika ini Posa menerima kecaman daripada pelbagai pihak ekoran prestasi merudum pasukan Sarawak selain terpalit dengan pelbagai isu lain.

Namun, tegas Awang Mahyan hakikatnya ramai yang tidak mengetahui situasi sebenar dihadapi oleh orang nombor satu FAS itu.

“Saya rasa tiada individu yang komited seperti beliau (Datuk Posa) dalam memimpin badan induk, FAS seperti kita ketahui hari ini.

“Walaupun menerima kecaman selain dibebani pelbagai masalah terutamanya kewangan, beliau tidak melenting sebaliknya tetap melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua (presiden FAS),” kata Awang Mahyan ketika ditemui di sini semalam.

Mengenai masalah gaji yang sering dijadikan isu, Awang Mahyan mengakui berlaku kelewatan dalam melunaskan pembayaran namun ketiga-tiga pasukan Sarawak merangkumi pasukan senior, Piala Presiden dan Piala Belia tetap menerima gaji setiap bulan.

“Individu yang seperti ini sememangnya diperlukan dalam setiap persatuan dan kita harus memberi sokongan kepada Datuk Posa dalam segala hal,” jelas beliau.

Justeru, Awang Mahyan berharap Posa terus diberi peluang untuk menerajui kepimpinan FAS pada masa akan datang.

Mengenai peletakan jawatan Timbalan Presiden FAS, Datuk Pengeran Awang Daud Pengeran Awang Putera beberapa hari lalu, Awang Mahyan berpendapat ia keputusan peribadi dan FAS menerima keputusan tersebut dengan terbuka.

“Itu keputusan beliau dan kita harus menerimanya. Namun, kita tetap berterima kasih kepada beliau kerana sanggup bersama seketika dalam FAS,” katanya.

Advertisement