Anda di sini

APMM gagalkan cubaan seludup lebih 4,000 gula pasir

Advertisement
SEMUA barang rampasan termasuk bot kargo dan tahanan-tahanan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
SEMUA barang rampasan termasuk bot kargo dan tahanan-tahanan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 4, 650 gula pasir ke negara jiran menggunakan bot kargo.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Tawau, Komander (M) Mohd Yusri Hussin berkata, aktiviti itu dikesan di muara Sg Haji Kuning Pulau Sebatik di sini pada Khamis.

“Kita juga merampas 200kg tepung gandum Cap Rama-Rama, 250kg tepung gandum Cap Murai dan 697kg minyak masak, serta turut menahan juragan dan empat penumpang.

“Hasil pemeriksaan juragan dikenalpasti lelaki warga tempatan, manakala penumpangnya yang berusia 43 hingga 64 tahun pula adalah warga asing yang memiliki pasport sah.

“Kita percaya muatan barang yang ditemui di dalam bot kargo terbabit hendak diseludup keluar ke negara jiran,” katanya, melalui kenyataan medianya di sini pada Jumaat.

Yusri berkata, nilai kesemua barang termasuk bot kargo yang ditahan dianggarkan bernilai kira-kira RM20, 000 dan mereka dipercayai bergerak dari Jeti Logpond, Tg Batu.

Mengulas lanjut, beliau berkata penahanan bot kargo itu dijalankan sepasukan anggota APMM Tawau yang menjalankan rondaan dan pemeriksaan rutin di kawasan terbabit.

“Kesemua barang rampasan termasuk bot kargo dan tahanan-tahanan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

PEMERIKSAAN dijalankan di muara Sg Haji Kuning, Pulau Sebatik Tawau.
PEMERIKSAAN dijalankan di muara Sg Haji Kuning, Pulau Sebatik Tawau.

Menurutnya, penguatkuasaan akan terus ditingkatkan walaupun Operasi Rentas Sempadan bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sudah ditamatkan baru-baru ini.

Langkah itu disifatkannya penting untuk memastikan perlanggaran undang-undang dapat ditangani demi memastikan perairan Sabah khasnya Tawau, selamat, aman dan terkawal.

”Kita mengalu-alukan orang awam menyalurkan aduan dan maklumat menerusi talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Tawau, 089-752115 atau MERS 999,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement