Anda di sini

STB meterai MoU bersama Dorak Holding Turkey

Advertisement
AHMET (duduk kanan) dan Pan ketika dalam majlis MoU berkenaan sambil disaksikan Christina (berdiri tengah), Esra (berdiri kanan) dan Noredah (berdiri kiri).
AHMET (duduk kanan) dan Pan ketika dalam majlis MoU berkenaan sambil disaksikan Christina (berdiri tengah), Esra (berdiri kanan) dan Noredah (berdiri kiri).

KOTA KINABALU : Satu Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai di antara Lembaga Pelancongan Sabah (STB) bersama pengusaha pelancongan terbesar Turkey, Dorak Holding di ibu pejabat syarikat itu pada Khamis.

MoU itu bertujuan untuk memberi sokongan terhadap industri pelancongan di Sabah dalam bagi mengukuhkan lagi perniagaannya dengan menawarkan rangkaian niaga kepada Dorak Holding.

Pengerusi Lembaga Dorak Holding Ahmet Serdar Korukcu menandatangani MoU itu sementara STB diwakili oleh Pengerusinya Ken Pan Yin.

Ahmet berkata, objektif keseluruhan usaha itu adalah bagi meletakkan Sabah sebagai pilihan utama destinasi pelancongan antarabangsa termasuklah mereka yang datang untuk bermesyuarat dan sebagainya.

Perjanjian MoU itu disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew, Ketua Pengurusan Pelancongan dan Jenama Global Dorak Holding Esra Degirmenci dan Pengurus Besar STB Noredah Othman.

"Saya sangat gembira STB berjaya mencapai persetujuan dengan Dorak Holding untuk kebaikan kedua-dua pihak. Kini kita adalah rakan dalam industri pelancongan ini," kata Christina dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Katanya, tujuan utama mewujudkan rakan kongsi dalam industri ini di Sabah adalah bagi menarik pasaran baharu selain membantu pelancongan negeri ini dalam kepelbagaian pakej percutian bersama destinasi dari pasaran global.

Menurutnya, ia juga bertindak sebagai 'jambatan' di antara Sabah dengan pasaran lain, seterusnya menjadikan negeri ini lebih terkenal di destinasi pelancongan antarabangsa.

"MoU ini juga hanya sah untuk 12 bulan sahaja memandangkan ianya adalah tempoh percubaan. Tiba masanya nanti, satu perbincangan akan dilakukan kedua-dua pihak...sekiranya bersetuju, maka tempoh lanjutan akan diteruskan pada masa hadapan," katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Pelancongan Malaysia Pejabat Istanbul Syafınaz Bujang, Pengurus Pemasaran STB Timur Tengah dan India Humphrey Gınıbun dan Setiusaha Sulit Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Helen Muhammari.

Selain itu, Esra bersama Ahmet turut akan mengetuai satu delegasi datang ke Sabah pada Ogos depan bagi melawat sendiri kemudahan dan daya tarikan pelancongan di Sabah.
 

  • oleh
  • Advertisement